Cari @ Amanz

Siri komputer riba produktiviti ASUS VivoBook boleh dikatakan model komputer riba yang cukup popular di kalangan pekerja muda dan juga para pelajar kerana bukan sahaja ia hadir dengan rekaan yang cukup padat dan ringan, tetapi juga hadir dengan prestasi yang cukup berkuasa untuk kerja dan riadah, dan juga hadir dengan rekaan warna yang cukup menarik.

Hari ini, ASUS Malaysia melancarkan dua buah model baru dibawah jenama ASUS VivoBook ini, iaitu ASUS VivoBook S14 dan juga ASUS VivoBook S15 khusus untuk tujuan produktiviti, disamping memperkenalkan beberapa ciri-ciri baru yang tidak dilihat di model ini sebelum ini.

Bermula dengan saiz paparan, komputer riba VivoBook S14 hadir dengan paparan bersaiz 14 inci, manakala VivoBook S15 dilengkapi dengan paparan bersaiz 15.6 inci, dimana kedua-duanya hadir dengan resolusi Full HD yang sama.

Model ASUS VivoBook S14 dan S15 terbaru ini turut menyambung penggunaan teknologi NanoEdge Display, dimana keempat-empat sisi paparan komputer riba ini mempunyai rekaan hampir nirbingkai, dimana 86 peratus daripada kawasan bingkai tersebut digunakan untuk paparan skrin.

Beralih kepada spesifikasi dalaman, VivoBook S14 dan S15 hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5-8265U dan Intel Core i7-8565U, memori DDR4 sehingga 8GB, dan juga storan SSD PCIe sebanyak 512GB. Untuk model VivoBook S14, ia juga turut dilengkapi dengan storan Intel Optane sebanyak 32GB untuk mempercepatkan akses kepada fail-fail dan perisian anda.

Bagi mereka yang ingin menggunakan komputer riba ini untuk tujuan mengolah video, atau bermain permainan komputer ringan, ia juga dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX250 yang hadir dengan 2GB memori GDDR5.

Dari segi I/O pula, komputer riba ini dilengkapi dengan dua palam USB 2.0. satu palam USB 3.1 Type-A dan Type-C, satu palam HDMI dan satu pembaca kad MicroSD. Bukan itu sahaja, jika rumah anda dilengkapi dengan sambungan internet yang pantas, ASUS VivoBook S14 dan S15 ini dilengkapi dengan ciri WiFi 6 yang mampu menggerakkan sambungan internet sepantas 1Gbps.

ASUS VivoBook S14 dan S15 ini hadir dalam lima rekaan warna menarik, termasuklah Gun Metal, Transparent Silver, Punk Pink, Moss Green dan Cobalt Blue, sesuai untuk mereka yang ingin menyerlahkan individualiti mereka melalui peranti-peranti mereka.

Menurut ASUS Malaysia, komputer riba ASUS VivoBook S14 dan S15 ini akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi. ASUS VivoBook S15 dengan pilihan CPU Intel Core i5-8265U, 4GB RAM, storan 512GB dan kad grafik NVIDIA GeForce MX250 akan dijual pada harga RM3199, manakala ASUS VivoBook S14 dengan pilihan CPU Intel Core i7-8565U, 8GB RAM, storan 512GB+32GB dan cip pemprosesan grafik Intel Iris akan dijual pada harga RM3899.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd