iPhone dan power bank berpisah tiada. Tetapi itu tidak bermakna Apple tidak berusaha memperbaikinya. Untuk siri iPhone 11, Apple telah menambah jangka hayat setiap iPhone lebih lama. iPhone 11 tahan lebih 1 jam dari XR, iPhone 11 Pro pula tambahan 4 jam berbanding XS dan 5 jam bagi 11 Pro Max jika dibandingkan dengan XS Max.
Tetapi apakah kapasiti bateri setiap iPhone ini? Baru-baru ini di laman TENAA, setiap iPhone 11 telah disenaraikan agar ia lulus untuk masuk ke pasaran China. Dalam laman web ini, kapasiti bateri setiap iPhone 11 telah disenaraikan.
iPhone 11 mempunyai 3110mAh (XR 2942mAh), iPhone 11 Pro pula 3046mAh (XS 2658mAh) dan iPhone 11 Pro Max adalah 3969mAh (XS Max 3174mAh). Peningkatan ini adalah lebih kurang 7% bagi iPhone 11, 15% bagi iPhone 11 Pro dan mencapai sekitar 25% bagi iPhone 11 Pro Max.
Ini adalah satu peningkatan yang menakjubkan. Lebih-lebih lagi iPhone 11 Pro Max yang menghampiri 4000mAh. Apple juga telah mengorbankan jisim setiap iPhone 11 dengan menjadikannya lebih berat. Bukan itu sahaja, dalam video ‘bedah’ iPhone 11 Pro Max – ia memperihatkan saiz bateri yang lebih tebal dan berbentuk ‘L’ sulung (sebelum ini dua bateri segi petak digabungkan).
Sebelum ini RAM bagi setiap iPhone 11 telah pun diperlihatkan oleh AnTuTu, ia hanya mempunyai 4GB sahaja. Apa kata anda? Pada saya, inilah ‘inovasi’ Apple – kerana saiz bateri baharu yang besar yang jarang mereka sertakan.