Carian
Urbanlytics 2019 – Acara Datathon Yang Memfokuskan Pembangunan Bandar Pintar
September 19, 2019 Fahim Zahar

Tahun ini sekali lagi Axiata mengadakan acara hackhaton dengan kerjasama bersama dengan Cities 4.0 dan Asia School of Business. Acara hackathon kali ini memfokuskan kepada pengendalian data, atau datathon untuk pembangunan bandar pintar. Acara ini turut bekerjasama dengan badan kerajaan Cyberview, yang mana mereka memberikan empat masalah utama yang terdapat di Malaysia dan para peserta perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk menyelesaikannya.

Empat masalah ini adalah; i) nirtunai, ii) bandar karbon-rendah, iii) pencemaran udara dan iv) keselamatan. Untuk acara ini, kesemua masalah diambil kecuali keselamatan. Ini kerana fokus utama adalah data dan hanya nirtunai, bandar karbon-rendah dan pencemaran udara adalah yang lebih sesuai. Melalui data yang diperoleh, peserta perlu hasilkan algoritma, perisian, aplikasi, kecerdasan buatan, sejenis sistem atau apa-apa jua ‘produk’ untuk menyelesaikan masalah diberi. Bukan itu sahaja, peserta turut perlu memikirkan cara pemasaran produk-produk ini bagi menjana keuntungan.

Tahun ini, peserta telah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding tahun 2018. Jika tahun lepas 110, tahun ini sekitar 220 peserta. Yang paling menarik adalah, tahun ini sebanyak 30% peserta wanita meningkat berbanding tahun lepas yang hanya 10%. Ini adalah perkara baik kerana menjayakan lagi diversiti antara jantina, yang mana kerja-kerja menganalisa data bukan sahaja terhad kepada para jejaka. Perkara ini juga tidak mustahil, kerana para wanita sendiri yang berminat untuk mendaftar bagi menyertai acara ini.

Data yang diberi adalah data yang dikumpul selama tiga minggu dari syarikat telekomunikasi, menara telekomunikasi dan data-data ini diberi secara awanama. Hasil projek setiap peserta kemudian mesti memberi jalan penyelesaian dari segi visual, anggaran masa depan, analisa data yang kompleks dan juga variabel yang membawa kepada dunia realiti masa nyata perniagaan. Hadiah terkumpul sebanyak RM40 Ribu turut disediakan dan anugerah akan diberi kepada kumpulan saintis data terbaik, jurutera data terbaik, penasihat perniagaan terbaik dan juga pasukan dengan jalan penyelesaian perniagaan terbaik.

Melalui acar sebegini, bukan sahaja ia akan mencari jalan penyelesaian kepada pembangunan bandar pintar untuk memfokuskan nirtunai, bandar karbon-rendah atau menyelesaikan pencemaran udara. Tetapi turut menyumbang kepada peningkatan pakar data di Malaysia dan melaluinya akan lebih banya peluang pekerjaan terbuka. Malah, beberapa universiti dalam negara sudah pun mula menawarkan bidang sains data sebagai kursus utama.

Dengan pengendalian data yang besar, banyak atau data yang penting, ia akan menjadi alat untuk memahami kehendak pengguna, pelanggan dan juga bantuan kepada perniagaan. Ya, projek seperti ini turut ingin menjana keuntungan – tetapi keberkesanan (boleh digunakan) setiap projek juga adalah penting. Jika projek ini berjaya, ia akan menjadikan Malaysia sebagai satu negara dengan hab data yang hebat.

Menurut Profesor Paul Morissey – Duta Big Data Analytics dan Pengalaman Pelanggan TM Forum, 92% peserta dari acara seperti ini yang telah hadir dengan syarikat sendiri telah pun berjaya. Acara ini akan diadakan pada 21 September 2019, iaitu Sabtu ini sehingga Ahad 22 September 2019. Ia merupakan acara tidak tidur dan peserta perlu selesaikan segalanya dalam masa 24 jam sahaja.

Komen