Cari @ Amanz

Apple Watch Series 5 adalah jam tangan pintar watchOS terbaru dari Apple. Ia dilancarkan bersama-sama dengan barisan iPhone 11. Semasa pelancaran, Apple tidak memfokuskan langsung pada spesifikasi, sebaliknya hanya memfokuskan kepada ciri dan fungsi baharu.

Baru-baru ini, seorang pembangun telah menemui butiran spesifikasi pada Apple Watch Series 5 melalui perisian Xcode. Pembangun ini adalah Steve Troughton-Smith. Menurut beliau, Apple Watch yang baharu ini menggunakan cip yang sama dari Apple Watch Series 4. Tetapi kenapa dalam laman web rasmi Apple, Apple Watch Series 5 disenaraikan dengan cip pemprosesan S5?

Berkemungkinan besar, ia hanyalah penjenamaan semula sahaja bagi selari dengan nama produk. CPU dan GPU dalam Xcode mengesahkan yang ia adalah dari cip yang sama. Bezanya hanyalah dari segi storan, 32GB, sensor giroskop baharu untuk kompas dan sokongan Always-On Retina.

Apple Watch Series 5

Lagipun, Apple Watch Series 4 sudah tidak dijual lagi secara rasmi. Apple juga hanya membandingkan Apple Watch Series 5 dengan Series 3 sahaja, yang mana cip S5 dua kali ganda lebih pantas dari cip S3. Ini juga bermakna, pengguna tidak perlu risau prestasi Apple Watch Series 4 menjadi perlahan – kerana ia sama sahaja dengan jam yang baru.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd