Cari @ Amanz

Selepas melancarkan siri CPU AMD Ryzen 3000, siri CPU AMD EPYC generasi ketiga dan siri kad grafik AMD Radeon RX 5700 tahun ini, AMD nampaknya masih mempunyai satu lagi siri produk yang masih belum diperlihatkan lagi.

Apabila siri-siri CPU terbaru tersebut diperlihatkan di acara Computex Taipei pada pertengahan tahun ini, ramai yang tertanya-tanya mengenai siri CPU HEDT (High End Desktop) AMD yang dinamakan AMD Threadripper.

AMD telah mengeluarkan satu kicauan di akaun Twitter mereka yang mengatakan bahawa mereka bakal memperkenalkan siri terbaru cip pemprosesan tersebut pada bulan November 2019.

Tidak banyak butiran yang disebut mengenai cip pemprosesan tersebut, kecuali bahawa CPU tersebut akan sekurang-kurangnya hadir dengan sebuah model yang mempunyai 24 teras fizikal.

Jika CPU AMD Threadripper generasi ketiga ini adalah sama seperti CPU-CPU Threadripper sebelum ini, terdapat kemungkinan besar bahawa CPU ini adalah berdasarkan CPU AMD EPYC yang berdasarkan SoC “Rome” yang telah diumumkan oleh syarikat tersebut baru-baru ini.

Apa-apa pun, sama-sama kita tunggu butiran lebih lanjut mengenai CPU yang dibina khusus untuk tugasan-tugasan yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi ini pada bulan November tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd