Cari @ Amanz

Skandal yang hangat diperkatakan masyarakat sejak dua minggu kebelakangan ini ialah sindiket pemalsuan MyKad yang berlaku di Pulau Pinang. Beberapa kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara didapati bersekongkol menjual MyKad kepada warga asing. Ini bukan sahaja mendatangkan masalah kepada keselamatan negara tetapi mengikis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Di dalam sebuah kenyataan rasmi semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan beberapa langkah bagi menambah baik proses pendaftaran di JPN. Antara usul yang dipertimbangkan pada waktu ini ialah mewujudkan bank DNA yang kemudiannya dimasukkan dalam sijil kelahiran agar dapat mengekang ketirisan. Pendaftaran lewat di pejabat JPN negeri juga dihentikan serta merta dan kini hanya boleh dilakukan di pejabat JPN pusat negeri.

Pengumuman bank DNA ini adalah langkah yang boleh kami kategorikan agak melampau. Selalunya rekod DNA yang disimpan adalah dari individu yang pernah melakukan jenayah berat seperti rogol. Di Amerika Syarikat terdapat tentangan apabila laman web yang melakukan ujian DNA berkongsi data pengguna tanpa kebenaran dengan pihak FBI.

Malaysia tidak mempunyai rekod cemerlang menyimpan data peribadi dengan kes ketirisan berprofil tinggi melibatkan data pengguna telefon selular, stesen TV berbayar dan pelajar IPTA telah tertiris sebelum dijual.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd