Peranti bertakuk mempunyai fungsi yang membolehkan takuk disorokkan. Ini dapat ditemui pada peranti seperti Huawei P30 Pro dan Samsung Galaxy S10. Dengan takuk disorokkan pengguna tidak akan mengalami masalah takuk menghalang kandungan yang ingin ditonton. Pada Huawei Mate 30 Pro, sebuah fungsi baharu disertakan iaitu kemampuan menyorokkan skrin sisi.
Seperti yang anda pasti sedia maklum, Mate 30 Pro dilengkapi skrin Horizon Display yang melengkung 88 darjah pada bahagian tepi. Dengan ini peranti mempunyai permukaan skrin sisi yang jauh lebih besar berbanding peranti Samsung. Ini mendatangkan masalah apabila menonton video contohnya kerana bahagian atas dan bawah video dipaparkan pada bahagian sisi.
Fungsi diakses menerusi tetapan Display di bawah sub menu Edges. Secara default kesemua aplikasi akan dipaksa untuk menggunakan keseluruhan skrin sisi. Anda diberikan pilihan untuk memilih aplikasi manakah yang dihalang dari menggunakan skrin sisi. Apabila diaktifkan bezel sisi yang lebih tebal akan dipaparkan seperti yang dapat anda lihat di atas. Skrin sisi masih lagi dapat mengesan sentuhan untuk kawalan suara dan hanya sedikit sahaja permukaan sisi ini memaparkan imej.