Hari ini, Xiaomi telah melancarkan Mi 9 Pro 5G. Ia boleh dikatakan pengganti kepada Mi 9, tetapi dengan dalaman yang telah dinaik taraf. Cip pemprosesan kini Snapdragon 855+, memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman sehingga 512GB, sokongan 5G dengan 7 antena dan sistem penyejukan berasaskan cecair. Untuk skrin, ia sama sahaja dengan Mi 9 yang biasa – tetapi telah dioptimasikan untuk penggunaan profesional. Saiz adalah 6.4-inci Super AMOLED FHD+.
Untuk bateri, Mi 9 Pro 5G hadir dengan kapasiti 4000mAh. Iaitu lebih besar dari Mi 9 dan dengan sokongan pengecasan pantas 40W berwayar dan Mi Charge Turbo 30W pengecasan nirwayar. Lebih menarik, ia juga hadir dengan pengecasan nirwayar berbalik seperti Huawei dan Samsung. Untuk kamera ia masih sama dengan Mi 9, iaitu 48-megapixel sensor utama, 16-megapixel sudut ultra lebar, dan 12-megapixel telefoto. Manakala kamera swafoto kekal dengan 20-megapixel.
Perkara baru lain yang Xiaomi perkenalkan adalah, sokongan tindak balas haptik – iaitu motor getaran seakan iPhone. Harga jualan Mi 9 Pro 5G adalah 3,699 yuan (~RM2176) untuk 8/128 GB, 3,799 yuan (~RM2235) untuk 8/256 GB, 4,099 yuan (~RM2411) untuk 12/256 GB dan akhir sekali 4,299 yuan (~RM2529) untuk 12/512 GB. Pengecas nirwayar 30W akan dijual secara berasingan pada harga 199 yuan (~RM117).