Cari @ Amanz

Mi MIX adalah sebuah peranti yang bermula sebagai peranti konsep. Tetapi akhirnya, peranti yang sama dijual kepada umum – sehingga beberapa generasi ia dilancarkan (Mi MIX 3 5G). Kini, Xiaomi hadir sekali lagi dengan sebuah peranti konsep – iaitu Mi MIX Alpha. Peranti ini dilihat mempunyai skrin yang melitupi hampir keseluruhan bahagian peranti.

Skrin peranti ini adalah 180.6 % nisbah skrin-ke-badan. Dari hadapan, ke setiap sisi dan sehinggalah ke belakang. Satu bahagian sahaja yang menghalang peranti ini menjadi sebuah peranti 100% skrin adalah – bahagian kamera. Ia menggunakan PCD yang direka semula, panel sisi dengan sokongan sentuhan haptik, rekaan band RF yang direka semula dan tiada kamera swafoto. Disebabkan bahagian belakang turut mempunyai sebahagian daripada skrin, jadi gambar swafoto boleh dirakam dengan kamera utama.

Peranti ini adalah sebuah peranti 5G, dijana Snapdragon 855+, memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Pengecasan pantas adalah 40W dengan kapasiti bateri 4050mAh. Untuk kamera, Xiaomi menggunakan lensa 108MP yang dihasilkan bersama-sama dengan Samsung. Walaupun sensor adalah 108MP, ia menggunakan konsep pixel yang digabungkan secara 2×2 (setiap kotak pixel) untuk menghasilkan kualiti imej yang lebih baik. Jadi segala data yang dirakam dari sensor 108MP akan dimampatkan dalam satu gambar bersaiz 27MP.

Menurut CEO Xiaomi, peranti ini masih lagi sebuah peranti konsep. Mereka juga tidak pasti bila ia akan dilancarkan secara rasmi atau akan memulakan penghasilan produk secara pukal. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan inovasi sebenar dari Xiaomi ini.

Dikemaskini…

Bahan binaan peranti ini adalah titanium dan pada bahagian kamera pula dilindungi dengan kaca nilam. Untuk kamera utama, selain lensa 108MP – Xiaomi turut meletakkan lensa 20MP ultra sudut lebar dan 12MP telefoto. Jenis bateri yang digunakan pula agak unik, iaitu bateri katod nano silikon.

Walaupun Xiaomi tidak berhasrat untuk mula menjual peranti ini, harga jualan turut diumumkan. Mi MIX Alpha dijual pada harga 19,999 yuan – iaitu RM11769.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd