Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Apple iPhone 11, 11 Pro dan 11 Pro Max dilancarkan di Malaysia. Tahun ini unik kerana Malaysia menjadi negara barisan kedua menerima ketiga-tiga peranti seminggu selepas pelancaran global. Jelas sekali Apple melihat Malaysia sebagai antara pasaran telefon pintar yang penting di rantau ini,
Dengan penggunaan perkataan pro di dalam namanya, iPhone 11 Pro Max ialah peranti yang paling premium pernah mereka hasilkan. Pasca pelancaran di Apple Park tempoh hari, ramai bertanya kepada kami adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah pandang pertama kami untuk iPhone 11 Pro Max dari pandangan seorang pemilik iPhone XS Max.
Spesifikasi
Apple 11 Pro Max | |
---|---|
Skrin | 6.5″ 1242 x 2688 pixel OLED Super Retina XDR, HDR10 |
Pemproses | Apple A13 Bionic |
Cip | 2 X 2 .65 GHz Lightning 4 X 1.8 GHz Thunder |
Cip Grafik | Apple GPU |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64/256/512GB |
Kamera Utama | 12+12+12 Megapixel. f/1.8+f/2.4+f/2.0, OIS, 2X zum optikal |
Kamera Depan | 12 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 3969 mAh (Pengecasan pantas 18W + Nirwayar Qi) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano + eSIM |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Wajah Face ID |
Harga Jualan | ~RM5094 |
Apple bukanlah syarikat yang terkenal dengan tabiat melakukan perubahan yang mendadak dengan setiap model baharu yang diperkenalkan. Mereka percaya kepada evolusi yang mengambil masa yang lama berbanding evolusi seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pengeluar dari China.
Dari hadapan iPhone 11 Pro Max tidak mempunyai sebarang perubahan fizikal yang jelas berbanding iPhone XS Max. Skrin masih lagi sebesar 6.5″ OLED tetapi kini dengan teknologi yang diberikan nama Super Retina XDR. Resolusi juga kekal 1242 x 2688 pixel dengan 458PPI. Yang membezakan Super Retina dengan Super Retina XDR ialah jumlah paparan warna dan tahap keterangan skrin yang meningkat. Sebaga pengguna XS Max kami dapat melihat perbezaan keterangan skrin 11 Pro Max sejak saat pertama ia dihidupkan. Warna putih skrin tetapan membakar retina kami yang menyebabkan kami bersyukur iOS 13 menyokong tema gelap.
Satu perubahan besar yang dilakukan lagi ialah tiada lagi sistem 3D Touch yang digantikan sepenuhnya dengan Haptic Touch pada ketiga-tiga model iPhone 11. Ada yang mengatakan ini dilakukan bagi mengurangkan kos tetapi kami lebih merasakan ia dilakukan kerana tidak digunakan dengan meluas oleh majoriti pengguna walaupun diperkenalkan pada 6S empat tahun yang lalu. Baru sebentar tadi kami bertanya kepada pengikut di Twitter dan ada pengguna iPhone 7 yang mengaku baru mengetahuinya selepas ciapan dihantar.
Sebagai sebilangan kecil pemilik iPhone yang menggunakan 3D Touch setiap hari ketika menaip, ketiadaan 3D Touch amat kami kesali. Untuk mengaktifkan mod tetikus bagi menyunting teks kini lebih perlahan kerana pengguna perlu menekan spacebar selama satu saat. Dahulu kami bebas menekan skrin pada mana-mana bahagian papan kekunci dan ia diaktifkan. 3D Touch menerima nasib yang sama seperti bicu audio pada iPhone 7.
Apa yang dikekalkan ialah takuk yang besar pada bahagian atas skrin. Ia menempatkan sistem Face ID yang memerlukan kamera infra merah, pemancar titik yang mengesan kontur wajah dan penerang limpah. Ketiga-tiga komponen ini masih belum boleh dikecilkan saiznya walaupun sudah masuk ke generasi ketiga. Akibatnya ialah 11 Pro Max mempunyai rekaan “wajah” yang tidak mengikut trend pasaran yang kini melarikan diri dari sebarang penggunaan takuk.
Sekali lagi dari perspektif pengguna XS Max, takuk bukanlah isu kerana kelebihan sistem Face ID melangkaui sebarang kekurangan kewujudan takuk. Hanya mereka yang tidak pernah menggunakan Face ID akan merasakan takuk skrin adalah masalah besar. Jika anda menaik taraf dari iPhone 8 misalnya, percayalah takuk ini akan hilang dari pandangan dalam masa beberapa hari sehingga tidak lagi dianggap sebagai tuna skrin.
Pemproses Apple 13 Bionic enam teras dipadankan dengan memori sebesar 4GB RAM dan storan sehingga 512GB. Ini ialah pemproses telefon pintar yang paling berkuasa yang pernah dihasilkan dengan peningkatan sehingga 20% pada kemampuan CPU dan GPU jika dibandingkan dengan Apple A12 Bionic. Tahun ini tiada pemproses peranti Android berjaya memintas kemampuan A12 Bionic dan kini dominasi pemproses Apple semakin jauh ke hadapan.
Mungkin ada pembaca yang mengatakan 4GB RAM adalah saiz yang kecil dan hanya layak digunakan pada peranti kelas permulaan Android. Tetapi anda tersasar. Sistem kawalan RAM iOS 13 adalah berbeza dengan Android oleh itu memori sehingga 12GB pada Note 10+ tidak perlu digunakan sehingga sekadar meningkatkan kos peranti yang pada waktu ini sudah sama dengan nilai empat ginjal di pasaran gelap.
Perbezaan di antara model tahun ini dan tahun lalu hanya boleh dilihat pada sistem kamera yang kini meningkat kepada tiga. Apple akur dengan kehendak pengguna dan menyertakan lensa tambahan sudut ultra lebar. Ketiga-tiga lensa kamera dipadankan dengan sensor sebesar 12-Megapixel. Walaupun lensa sudut ultra lebar diperkenalkan, sistem zum optikal 11 Pro Max masih lagi terhad kepada 2X sama seperti iPhone 7 yang sudah berusia tiga tahun. Mungkin pada hemat Apple sistem zum seperti P30 Pro terlalu melampau dan tidak diperlukan pengguna profesional pada waktu ini.
Bateri yang disertakan tahu ini adalah sebesar 3969 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W dan nirwayar menggunakan format Qi. Ini adalah peningkatan kapasiti sebanyak 25%. Menurut Apple, 11 Pro Max boleh bertahan lima jam lebih lama berbanding XS Max. Format pengecasan pantas yang disokong bukan yang terbaik pada waktu ini tetapi berita baik ialah pengecasnya disertakan dengan setiap pembelian. Selamat tinggal pengecas tradisional 5W Apple.
Melengkapi spesifikasi ialah sokongan bluetooth 5.0, NFC, WiFi 6 dan kemampuan kalis air IP68. Peranti boleh direndam sehingga empat meter selama setengah sejam sebelum pergi mengadap Poseidon selama-lamanya.
Pada hemat kami spesifikasi iPhone 11 Pro Max ialah seperti Jeckyll dan Hyde. Terdapat peningkatan ketara yang positif tetapi diimbangi oleh pengurangan fungsi yang kami kategorikan adalah negatif. Pendapat anda mengenai baik atau buruknya spesifikasi 11 Pro Max ini terletak sepenuhnya pada apa yang anda rasakan lebih penting. Kuasa pemproses yang tiada tolok banding atau fitur skrin yang dianggap amat perlu.
Rekaan Dan Penggunaan
Kami sudahpun bercakap mengena takuk skrin beberapa perenggan pertama tadi tetapi kami tidak sempat menyentuh mengenai perkara lain pada skrin Super Retina XDR. Pertama sekali paparan adalah amat tajam dan terang sehingga 800 nits, Ini ialah tahap keterangan maksimum apabila menggunakan aplikasi biasa tetapi meningkat ke 1200 nits apabila memaparkan kandungan HDR10 dan Dolby Vision. Keseluruhan skrin adalah rata dengan hanya bahagian sisi dibulatkan bagi membolehkan ia bercantum kemas dengan sisi yang diperbuat daripada logam tahan karat.
Bezel pada keempat-empat sisi mempunyai ketebalan yang sama membuatkan peranti kelihatan seimbang. Mengikut standard 2018 saiz bezel ini adalah kecil tetapi selepas pelancaran Note 10+ saiz bezel 11 Pro Max kelihatan sedikit tebal. Skrin hanya menyokong kadar segar semula 60Hz tetapi mempunyai tahap mengesan sentuhan 120Hz. Ia adalah skrin yang paling responsif pernah kami gunakan selepas iPad Pro. Walaupun telah diperkenalkan sejak iPhone X, perbezaan implementasinya dapat dirasai. Ia mengesan pergrakan jari dengan tepat apabila ingin melakukan suntingan teks misalnya. Tatalan juga kelihatan lancar walaupun tidak sebaik yang kami lihat pada skrin 90Hz OnePlus 7 Pro.
Bonjol kamera pada bahagian belakang ialah perkara paling menyerlah pada 11 Pro Max. Kesemua tiga lensa, flash dan sensor khas diletakkan di dalam bonjol berbentuk empat segi. Ada yang mengatakan rekaan ini adalah buruk tetapi kami tidak bersetuju mungkin kerana telah terbiasa sejak menggunakan Mate 20 Pro. Ketiga-tiga lensa yang digunakan juga adalah lebih besar berbanding yang ditemui pada iPhone XS Max. Ia juga adalah bonjol yang diletakkan di atas bonjol empat segi yang kami katakan tadi. Ini adalah pilihan rekaan yang agak aneh. Lensa kamera terkeluar sehingga peranti tidak boleh diletakkan rata di atas permukaan meja.
Ini mendedahkan lensa kepada calar dan mungkin juga pecah jika berkali-kali diletakkan tanpa sebarang jenis kerangka. Menurut Apple panel yang dihasilkan dari sekeping kaca ini adalah yang paling tahan lasak pernah digunakan. Kami tidak berani untuk melakukan ujian jatuhan tetapi jika anda ingin melihat sendiri kebenaran dakwaan Apple ini telah terdapat beberapa video mengenainya di YouTube.
Bonjol atas bonjol mungkin aneh tetapi kemasan panel belakang ini harus diberikan pujian. Pada bonjol kamera ia mempunyai kemasan lutsinar yang berkilat. Bahagian lain kaca mempunyai kemasan yang kasar dan pusam. Masalah panel belakang kaca yang mengumpul kotoran seperti manusia mengumpul dosa tidak lagi berlaku. Mengotorkan panel ini adalah lebih sukar dari biasa. Fungsi sekundernya ialah ia menjadikan permukaan belakang kurang licin ketika di dalam genggaman tangan.
Kami dapat melihat trend panel kaca dengan kemasan kasar pusam ini akan menjadi ikutan pengeluar lain kerana ia menyelesaikan masalah yang wujud sejak kaca menggantikan besi dan plastik sebagai bahan binaan tubuh peranti.
Butang kuasa dikekalkan pada sisi kanan dan dua butang suara pada sisi kiri. Ketiga-tiganya diperbuat daripada bahan logam. Saiz suis membisukan peranti walau bagaimanapun dikecilkan dan diturunkan sedikit ke bawah. Saiznya yang kecil ini mendatangkan masalah kepada pengguna walaupun pada kerangka rasmi keluaran Apple. Jari terpakasa mencungkil ke dalam untuk menggerakkan suis. Talam SIM bersaiz nano juga masih di sisi kanan. Harus diingatkan model yang dijual di Malaysia hanya menyokong satu SIM fizikal dan satu eSIM. Model dwi-SIM fizikal dijual di China sahaja.
Port pengecasan Lightning terletak pada bahagian bawah dihimpit dua kekisi audio pembesar suara. Hanya kekisi kanan berfungsi dengan kekisi kiri hanya sekadar hiasan kosmetik. Penggunaan port Lighthing adalah mengecewakan kerana dengan pengguna nana Pro kami berharap ia menggunakan port USB-C seerti iPad Pro. Impian menggunakan satu pengecas universal untuk iPhone, iPad dan MacBook perlu ditangguh selama setahun lagi.
Antaramuka
Keluar sahaja dari kotak ia menggunakan iOS 13 tetapi baru sebentar sahaja tadi kemas kini iOS 13.1 telah diberikan. Kami baru menggunakan 11 Pro Max kurang sehari dan tidak menemui sebarang masalah sepanjang penggunaan seperti yang dilaporkan di dalam ulasan awal dari negara barat. Masalah ini hanya kami temui pada iPhone XS Max sahaja setakat ini.
Dengan iOS 13.1, peranti menyokong tema gelap sepenuhnya untuk menjimatkan penggunaan bateri. Gesture baharu untuk menyunting teks turut diperkenalkan bersama dengan pengaktifan cip U1 yang memberikan arah peranti yang lebih tepat. Menerusi cip ini nama insan yang berada di depan anda (depan cip U1 dalam peranti) akan terpapar paling hadapan apabila melakukan AirDrop misalnya.
Antaramuka kawalan bunyi diberi nafas baru. Tiada lagi kotak besar yang menghalang kandungan yang ditonton. Ia kini melekap pada sisi kiri dan mengecil selepas beberapa saat. Dalam mod besar jari boleh digunakan untuk menatal ke atas atau ke bawah bagi mengawal bunyi tanpa butang fizikal ditekan.
Sistem sunting gambar dan video yang lebih berkuasa juga diperkenalkan. Pengguna 11 Pro Max tidak perlu memuat turun aplikasi pihak ketiga untuk menyunting gamba serta video yang diambil. Terasa canggung sedikit kerana fungsi suntingan yang mantap diberikan tetapi aplikasi kamera masih tidak menyertakan kawalan manual. PRO hanya pada kemmapuan suntingan tetapi bukan pada aplikasi gambar diambil.
Kamera
Berikut ialah beberapa sampel gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera 11 Pro Max. Kesemua gambar diambil selepas peranti dikemaskini ke iOS 13.1.
Kesimpulan
Dalam penggunaan singkat kami cukup kagum dengan kelancaran peranti. Ia terasa lebih pantas mungkin kerana penggunaan skrin yang mengesan sentuhan pada kadar 120Hz. Mungkin ada di antara pembaca merasakan bagi sebuah peranti yang dijual pada harga melangkaui RM5000 sebuah, skrin 90Hz sepatutnya digunakan kerana Apple telah menggunakan skrin ProMotion pada iPad Pro. Tetapi mereka tidak terkenal dengan kepantasan mengadaptasi teknologi terkini.
Rekaan masih lagi cantik tetapi sekali lagi ini ialah subjektif. Sebagai pemilik XS Max kami langsung tidak merasakan kehadiran takuk adalah satu kelemahan. Kelebihan Face ID adalah lebih banyak berbanding kekurangannya.
Kemasan iPhone sejak dari dahulu adalah antara yang terbaik di pasaran. Pada 11 Pro Max kemasan kaca yang kasar serta pusam pada bahagian belakang membuatkan ia tidak memerangkap kotoran. Telah lama kami menantikan penyelesaian kepada masalah yang wujud sejak panel kaca mula digunakan pada telefon pintar empat tahun lalu.
Dwi-bonjol kameranya pula sukar untuk dimaafkan. Mengapa perlu bonjol yang berganda? Peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Tiga lensa yang agak besar 11 Pro Max akan terdedah kepada calar jika anda tidak menggunakan kerangka. Rekaan semula suis membisukan peranti yang lebih kecil juga adalah aneh kerana ia menyukarkan penggunaan.
Tetapi kami yakin apa yang kami tulis ini tidak akan mengubah pendapat anda mengena iPhone 11 Pro Max. Bagi peminat ia adalah peranti terbaik pernah dihasilkan sejak peradaban manusia bermula. Golongan yang membenci pula mengangguk kepala tanda setuju seperti lirik lagu Ahli Fikir. Nantikan ulasan penuh kami dalam masa terdekat.