Carian
Pandang Pertama: Google Play Pass
September 25, 2019 Fahim Zahar

Apple Arcade adalah perkhidmatan langganan permua daripada Apple. Apple menawarkan 71 permua yang boleh dimainkan tanpa sebarang gangguan iklan atau belian dalam aplikasi. Harga langganan pula adalah RM19.90 dan percuma langganan selama sebulan sebagai percubaan. Kini, Google tidak ingin berdiam sendiri dan hadir dengan perkhidmatan langganan tersendiri pula.

Google Play Pass adalah perkhidmatan langganan daripada Google. Ia tidak terhad kepada permua sahaja, tetapi turut menawarkan pelbagai aplikasi menarik lain. Dari segi harga ia kelihatan murah dan menarik. Google juga menawarkan ratusan aplikasi dan permua, yang mana adalah lebih banyak dari apa yang Apple Arcade tawarkan. Persoalnnya, adakah ianya berbaloi? Kami dapat mencubanya dengan menggunakan akaun Google dengan tetapan negara Amerika Syarikat, ini adalah pendapat kami.


Aplikasi

Play Pass diintegrasikan terus pada Google Play Store. Sebaik sahaja langganan dimulakan, ikon Play Pass akan terpapar terus pada bahagian bawah sebaris dengan kategori ‘Games’, ‘Apps’, ‘Movies & TV’ dan ‘Books’. Jadi cara penggunaan adalah mudah sahaja. Ia juga akan menjadi halaman utama pada Play Store jika pengguna mula melanggan, secara tidak langsung memudahkan pengguna untuk lihat senarai aplikasi dan permua yang ‘premium’ yang ditawarkan.

Seperti Google Play Store biasa, Google turut mengasingkan kandungan dalam bentuk kategori dan cadangan. Contoh, cadangan pertama adalah ‘What are you in the mood for?‘. Terdapat enam aplikasi dan permua yang Google tawarkan secara terus. Kemudian di bawahnya ada kategori khas untuk kanak-kanak, cadangan sesuai berdasarkan carian pengguna di Play Store, kategori-kategori permua, aplikasi terbaik yang dipilih Google, kategori audio dan muzik, aplikasi alatan dan banyak lagi.

Ada juga permua yang Google tawarkan, disertakan terus dengan video acah. Secara keseluruhan, ia sama sahaja dengan Google Play Store biasa – cuma ia lebih terhad dengan beberapa ratus aplikasi dan permua sahaja. Kemudian, bagi memudahkan lagi pengguna untuk mencari aplikasi mana yang disokong Play Pass – pergi sahaja ka senarai Top Paid dalam bahagian ‘Apps’ dan lihat senarai aplikasi berbayar yang popular. Aplikasi yang disokong Play Pass, harganya akan dipangkah menjadi $0.00.

Kandungan

Kandungan dalam Google Play Pass boleh dikatakan amat banyak. Tetapi sayang sekali, majoriti kandungan yang ditawarkan adalah mengecewakan dan langsung tidak menarik. Tidak banyak aplikasi dan permua yang menarik atau dari pembangun yang terkenal. Contohnya, dalam kategori Top Charts pada bahagian Apps, dalam 12 senarai teratas – hanya aplikasi Tasker sahaja yang ditawarkan. 10 aplikasi terbaik langsung tidak ditawarkan. Dalam kategori ini juga, daripada 50 aplikasi pertama, tidak sampai 10 aplikasi yang ditawarkan dalam Play Pass.

Perkara yang sama turut berlaku dalam bahagian permua. Permua paling menarik pun hanyalah Stardew Valley yang berada dalam senarai 10 permua terbaik. Harga asal bagi Stardew Valley adalah RM34.90, dalam Play Pass hanya bayar sekitar RM8 untuk mainkan permua ini. Permua lain adalah seperti Monument Valley pertama yang dijual pada harga RM15.99, kini boleh dimainkan secara ‘percuma‘. Sedikit kecewa, Monument Valley 2 yang lebih baharu tidak ditawarkan.

Fungsi Menarik

Jika anda mempunyai dua akaun Google, satu tetapan lokasi adalah Amerika Syarikat dan satu lagi adalah Malaysia dan akaun Malaysia adalah akaun utama – dalam Google Play Store, jika ada aplikasi berbayar yang anda minat akan ada cadangan oleh Google untuk tukar akaun agar aplikasi berbayar ini dapat dimuat turun secara percuma.

Selain itu, Google turut tawarkan pelan keluarga agar satu akaun utama yang melanggan boleh dikongsi antara satu sama lain. Butiran mengenai pelan keluarga ini sukar untuk didapatkan, kerana ia hanya menyokong lokasi Amerika Syarikat sahaja (Google kesan menggunakan GPS mungkin). Tetapi, saya rasa ia sama sahaja dengan pelan keluarga Google lain. Contoh dalam Google One satu langganan Google Drive, boleh dikongsi kepada ahli keluarga lain. Jadi, kemungkinan besar perkara yang sama bagi Play Pass.

Harga

Harga langganan Play Pass adalah $1.99 sebulan untuk setahun yang pertama, iaitu sekitar RM8.33 sahaja. Kemudian selepas setahun, harga langganan akan berubah kepada $4.99 (~RM20.89) sebulan. Untuk setahun pertama ia mungkin berbaloi. Tetapi, pada pendapat saya senarai aplikasi dan permua yang Play Pass tawarkan buat masa ini tidak menarik. Boleh dikatakan semua aplikasi dan permua yang saya inginkan sudah pun dibeli dan dimuat turun sebelum wujudnya lagi Play Pass ini.

Kesimpulan

Jelas di sini Google tidak ingin duduk diam dan ingin bersaing dengan Apple Arcade. Tetapi, dengan senarai aplikasi dan permua yang ditawarkan ia tidak berbaloi dan pada saya – siapa yang melanggan adalah satu langganan yang sia-sia. Sudahlah langganan percubaan hanya diberi selama 10 hari, kemudian hanya setahun sahaja murah – kemudian harga dinaikkan.

Jika anda degil dan ingin juga langgan, cadangan saya adalah tunggu sebentar dan langgan kemudian selepas lebih banyak aplikasi dan permua yang lebih menarik ditawarkan.

Komen