AWS Berkongsi Tentang Bagaimana Perkhidmatan Mereka Membantu Sektor Awam Di Rantau Asia

AWS Berkongsi Tentang Bagaimana Perkhidmatan Mereka Membantu Sektor Awam Di Rantau Asia

Diterbitkan pada Sep 26, 2019 oleh .

Amazon Web Services (AWS) telah melancarkan acara AWS ASEAN Public Sector Summit di Singapore secara rasmi. Acara ini memfokuskan kepada bagaimana AWS membantu para pengguna dalam pengurusan perniagaan mereka.

Teresa Carlson, sebagai Naib Presiden, Worldwide Public Sector, AWS menyatakan bahawa pengguna perkhidmatan AWS telah berkembang secara meluas di Asia Pasifik selepas pembukaan cawangannya di Singapura dan turut menyasarkan akan menambah cawangannya di Jakarta menjelang 2022 kelak.

Beliau juga turut menyatakan bahawa AWS menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna mereka. Enam kemudahan utama yang ditawarkan adalah (1) kelajuan, (2) menawarkan servis yang cekap, (3) keselamatan data yang terkawal rapi (4) kebolehan untuk bereksperiman, (5) pembayaran berdasarkan penggunaan, dan (6)boleh digunakan secara global.

Bagi sektor awam sendiri, Teresa turut menyatakan bahawa budaya perkomputeran awan (cloud computing) perlu diterapkan kepada setiap perniagaan dalam sektor awam. Oleh itu, beliau menyarankan bahawa adalah sangat penting bagi setiap sektor, agensi, dan kementerian untuk mewujudkan dasar awan-pertama (cloud-first policy).  Hal ini kerana, sektor ini memerlukan sistem sekuriti yang kemas dan terkawal rapi serta sistem yang boleh diterima oleh semua pihak.

Bukan itu sahaja, sektor ini juga memerlukan medium yang membolehkan pengguna untuk mendapatkan servis asas IT (procurement vehicle) dengan mudah, kemahiran dan latihan dalam menggunakan perkomputeran awan. Seterusnya, selepas keperluan-keperluan ini sudah diperoleh, proses untuk mengembangkan sesuatu perniagaan secara meluas dan cepat adalah lebih mudah.

Oleh itu, Teresa telah mengumumkan satu ciri baru dalam sistem pengurusan perkomputeran awan, iaitu sistem pengesanan ancaman yang baru yang menggunakan teknologi AI untuk sektor kerajaan dan awam. Ciri ini menggunakan algoritma pembelajaran mendalam (deep learning) untuk mengenalpasti isyarat untuk sesuatu serangan. Namun, tiada maklumat lanjut berkenaan ciri ini memandangkan ia belum dilancarkan secara rasmi.

Peter Moore, Pengarah Urusan Serantau, Asia Pasifik Jepun, Worldwide Public Sector, AWS pula memulakan perkongsian beliau dengan menyatakan bahawa AWS menawarkan 12 cara untuk proses pemindahan data ke pelayan awan (cloud server) dan empat daripadanya boleh didapati di Singapura.

Antaranya adalah AWS Storage Gateaway yang membolehkan pengguna untuk menghubungkan storan awan diantara premis kepada Awan AWS, AWS Snowball yang merupakan satu cara berskala petabyte untuk memindahkan sejumlah data masuk dan keluar daripada Awan AWS. Manakala AWS Snowmobile pula adalah data truck yang boleh disambungkan terus ke rangkaian utama anda, kemudian mengangkutnya melalui pusat data (data center) yang boleh mencapai sehingga 100 PB data.

Pada sesi perkongsiannya juga, Peter mengetengahkan tentang bagaimana peranti berhubung (Internet of Things, IoT) dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning), dapat membantu sektor awam. Melalui teknologi-teknologi baru ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu membina masa depan yang mampu mengubah cara kerja sesuatu sektor industri untuk menjadi lebih cepat dan produktif.

Malah, dengan bantuan Amazon SageMaker, proses pembelajaran mesin menjadi lebih mudah, dimana ia membantu untuk melabelkan  dan menyediakan data seterusnya menawarkan algoritma yang bersesuaian untuk melatih model bagi membolehkan anda untuk mengakses data yang diperlukan dengan lebih cepat tanpa memerlukan khidmat data saintis.

Sebagai kesimpulan, Peter menyatakan bahawa pihak mereka akan sentiasa memenuhi permintaan pelanggan pelanggan mereka dan menjemput semua pengguna perkhidmatan AWS untuk bersama sama menyertai acara tahunan AWS reInvent tahun ini di Las Vegas.


TIPS & ULASAN