Amazon Melancarkan Echo Buds – Set Fon Telinga Nirwayar Sebenar Amazon Dengan Teknologi Bose

Amazon Melancarkan Echo Buds – Set Fon Telinga Nirwayar Sebenar Amazon Dengan Teknologi Bose

Diterbitkan pada Sep 26, 2019 oleh .

Trend set fon telinga nirwayar sebenar kini semakin menjadi-jadi. Setiap syarikat pengeluar peranti pasti ingin hadir dengan variasi mereka yang tersendiri. Terkini, Amazon pula telah melancarkan set fon telingan nirwayar sebenar mereka – Echo Buds.

Dengan nama “Echo”, kita sudah tahu yang ia mempunyai integrasi pembantu maya Alexa secara terbina. Apa yang menarik dengan Echo Buds ini adalah, Amazon bekerjasama dengan Bose untuk menghasilkan cip pengurangan bunyi hingar. Kemudian, setiap fon telinga mempunyai tiga mikrofon untuk mendengar arahan pengguna dengan lebih jelas atau membuat panggilan video dengan lebih baik. Ia juga mempunyai sensor yang boleh menjeda/memainkan muzik apabila fon telinga ditanggalkan/dimasukkan pada telinga.

Echo Buds turut menyokong pengecasan pantas selama 15 minit dengan ketahanan selama 2 jam. Manakala, bersama-sama dengan pod pemgecasan – ia boleh bertahan selama 20 jam. Jika pengguna tidak gemar menggunakan arahan suara, Echo Buds turut boleh dikawal melalui aplikasi Alexa. Disebabkan aksesori audio ini juga merupakan salah satu produk Alexa, ia turut menyokong Alexa Skills yang mana  boleh mengawal pelbagai aplikasi dengan arahan suara yang tertentu. Set fon telinga nirwayar sebenar ini juga mempunyai sokongan kawalan gestur.

Harga jualan adalah $129.99, iaitu sekitar RM545. Ia akan mula dijual di laman web Amazon bermula 30 Oktober, tetapi pengguna boleh sahaja mulakan pra-tempah hari ini.


TIPS & ULASAN