Amazon melancarkan banyak produk hari ini seperti fon telinga Amazon Buds, Tetapi pada hemat kami Amazon Echo Frames dan Amazon Echo Loop adalah dua produk yang lebih menarik kerana ia adalah sepasang cermin dan cincin pintar dengan sokongan pembantu maya Alexa.
Amazon Echo Frames dilengkapi empat pembesar suara dengan dua mikrofon beam forming yang dapat mengesan arahan suara yang diberikan dengan lebih tepat. Tidak seperti Snap Spectacles, Frames tidak dilengkapi sebarang kamera. Sebaliknya ia hanya mempunyai pembesar suara dan pad sesentuh pada bahagian tangkai kiri. Pemakai bebas menggunakan lensa biasa pada Frames. Malahan dari segi rekaan ia langsung tidak memberikan petunjuk ia sepasang cermin mata pintar.
Dengan sokongan Alexa pemilik boleh memberikan arahan suara untuk mengawal pelbagai peralatan pintar di rumah atau mendengar notifikasi yang diterima pada telefon pintar. Ia juga boleh digunakan untuk melakukan panggilan suara. Jika pemilik tidak mahu menggunakan Alexa, ia turut boleh ditukar untuk menggunakan Google Assistant. Frames hanya direka untuk digunakan pada peranti Android sahaja pada waktu ini.
Amazon Echo Loop pula adalah cincin yang juga dilengkapi dua mikrofon yang membolehkan ia mendengar seruan suara yang diberikan kepada Alexa dan sistem pembesar suara piezo elektrik. Sebuah butang pada Loop digunakan untuk mengaktifkan sistem pembantu maya Alexa atau Google Assistant.
Jika panggilan suara dilakukan, Loop perlu diletakkan pada telinga bagi membolehkan audio dari pembesar suara piezo elekrtik didengari. Menurut Amazon dengan sekali caj Loop boleh berfungsi seharian dengan pengecasan dalam masa 90 minit.
Jualan Amazon Frames dan Loop hanya dibuka kepada pelanggan Amazon yang menerima jemputan. Harga jualan untuk sebentuk cincin pintar Loop ialah $130 (~RM544) dan Frames pula pada harga $180 (~RM754) sepasang.