Cari @ Amanz



Bersama-sama pengenalan telefon pintar terbaru OnePlus 7T, pihak OnePlus juga turut membuat kejutan dengan melancarkan televisyen pintar pertama mereka, iaitu OnePlus TV.

OnePlus TV

OnePlus TV hadir dengan skrin 55-inci, menggunakan panel QLED, dan menyokong paparan pada resolusi sehingga 4K. OnePlus turut menyertakan sokongan sehingga 8 speaker padanya dalam menawarkan pengalaman yang baik ketika pengguna menonton kandungan melaluinya.

Televisyen ini dijana cip MediaTek MT5887, 2.5GB RAM, dan storan 8GB.

Dari segi rekaan, ia menawarkan kemasan yang sangat premium – dimana bahagian belakangnya menawarkan kemasan seumpama karbon fiber, selain bingkai yang nipis pada bahagian hadapan. Menariknya juga adalah dimana bahagian speaker disembunyikan, dan ia akan turun kebawah apabila anda membuka televisyen berkenaan – sesuatu yang agak unik berbanding pelbagai televisyen lain dipasaran.

OnePlus TV

Alat kawalannya juga agak ringkas – lebih kurang seumpama pada Apple TV, dan menawarkan akses kawalan mudah untuk televisyen berkenaan.

Melengkapkan televisyen ini adalah sokongan sistem operasinya. Ia hadir dengan Android TV, tetapi menyertakan beberapa ciri tambahan seperti OxygenPlay yang menjadi hab kandungan yang lebih interaktif. Selain daripada itu, sebuah aplikasi turut ditawarkan untuk telefon pintar bagi memudahkan kawalan pada televisyen berkenaan daripada skrin telefon anda.

Buat masa ini, televisyen ini hanya diumumkan untuk pasaran di India sahaja. Tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperluaskan dan ditawarkan untuk negara-negara lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd