Spektrum Untuk Rangkaian 5G Akan Sedia Untuk Diagihkan Pada Separuh Kedua 2020

Spektrum Untuk Rangkaian 5G Akan Sedia Untuk Diagihkan Pada Separuh Kedua 2020

Diterbitkan pada Sep 30, 2019 oleh .

Sejak penghujung tahun lepas, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan boleh dikatakan giat menjalankan pelbagai ujian untuk mempercepatkan persediaan negara untuk menerima sokongan untuk rangkaian internet mudah-alih terkini, yang dikenali sebagai 5G.

Laporan awal ujian rangkaian 5G yang dijalankan sejak penghujung tahun lepas akan dikeluarkan pada bulan Oktober 2019, tetapi ujian 5G ini tetap akan dijalankan sehingga bulan Mac 2020.

Pelbagai ujian awal rangkaian 5G ini dikatakan cukup positif, dan salah satu daripadanya memperlihatkan kelajuan penghantaran data setinggi 6Gbps dalam ujian kepantasan penghantaran data.

Spektrum yang diagihkan untuk ujian-ujian ini buat masa ini (untuk teknologi komunikasi nirwayar mmwave, C-Band) hanyalah untuk kegunaan sementara, dimana perlesenannya akan diambil kembali daripada syarikat-syarikat telekomunikasi untuk pengagihan tetap apabila fasa ujian ini lengkap pada tahun hadapan.

Apabila ditanya mengenai bilakah spektrum-spektrum ini akan diagihkan atau dijual untuk implementasi 5G sebenar, Al-Ishsal Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif SKMM mengesahkan bahawa spektrum-spektrum yang diperlukan untuk menggerakkan rangkaian 5G ini akan sedia untuk diagihkan pada separuh kedua 2020 kelak.

Ini tidak bermaksud bahawa rakyat Malaysia boleh menikmati rangkaian 5G pada tahun hadapan ataupun 2021, tetapi hanyalah bahawa kerajaan akan sedia mengagihkan atau menjual lesen spektrum-spektrum ini pada waktu tersebut.

Proses lain seperti pembangunan infrastruktur, pelan pengguna dan sebagainya hanya akan dibincangkan selepas spektrum-spektrum 5G diagihkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.

Apa yang menarik mengenai ujian rangkaian ini ialah syarikat-syarikat telekomunikasi bukan sahaja dilihat mementingkan kelajuan penghantaran data sahaja, tetapi juga bagaimana teknologi tersebut boleh digunakan untuk memperbaiki taraf hidup orang ramai dan membantu syarikat-syarikat tempatan meningkatkan mutu perniagaan mereka.


TIPS & ULASAN