OnePlus Kini Hadir Dengan Perkhidmatan Storan Awan Tersendiri Seakan Google Photos

OnePlus Kini Hadir Dengan Perkhidmatan Storan Awan Tersendiri Seakan Google Photos

Diterbitkan pada Okt 1, 2019 oleh .

OnePlus yang pada mulanya adalah satu syarikat yang menghasilkan “pembunuh” peranti mercu, kini semakin maju. Mereka dilihat seolah tidak lagi bersaing dengan jenama lain, tetapi lebih fokus kepada peminat OnePlus sendiri. Walaupun harga peranti mereka sekarang mahal, OnePlus masih berjaya mengambil hati peminat mereka.

Terkini, OnePlus telah mengumumkan perkhidmatan sandaran imej ke awan tersendiri. Ia berfungsi seakan Google Photos, kerana ia terbina pada aplikasi galeri mereka. Ia sangat mirip dengan Google Photos, kerana hadir dengan fungsi seperti pengecaman wajah, menyusun imej dalam album secara pintar, mengasingkan imej mengikut lokasi atau juga masa.

OnePlus turut memberi pengguna 5GB storan awan secara percuma dan kelak, pengguna boleh tuntut 50GB secara percuma. Ini bermakna, akan terdapat kuota yang boleh dilanggan pengguna jika 5GB atau 50GB ini tidak mencukupi. Di China, storan awan ini sudah diperkenalkan sejak OnePlus 6T lagi.

 

Kemudian, OnePlus turut mengumumkan aplikasi OxygenOS SMS serba baharu. Ia kini lebih pintar. Ia mampu mengasingkan SMS yang diterima mengikut kategori yang mana diasingkan secara pintar. Sebanyak 39 jenis SMS boleh diasingkan, termasuk kod OTP, bil, mesej dari bank, dan banyak lagi. Aplikasi SMS ini dilihat mirip dengan SMS Organizer‘ yang dilancarkan oleh Microsoft.

 

Terdapat tiga lagi perkara menarik yang OnePlus umumkan, iaitu Digital Wellbeing serba baharu yang digelar “Work-Life Balance“. Fungsi ini mengasingkan notifikasi berdasarkan aplikasi yang ditetapkan oleh pengguna, sama ada untuk kerja atau bukan. Bagi peminat sukan kriket, pada OnePlus Shelf akan terdapat widget baharu yang memaparkan skor secara langsung. Akhir sekali adalah perkhidmatan e-SIM untuk roaming dan pengguna boleh melanggan terus dari tetapan peranti.

 

Perlu diingatkan yang, semua fungsi ini hanya terhad ke pengguna di India terlebih dahulu. Tidak pasti jika OnePlus akan tawarkan secara global. Fungsi-fungsi menarik ini juga hanya akan hadir bermula kemaskini OxygenOS 10 yang akan diedarkan dalam masa terdekat.


TIPS & ULASAN