World Wide Fund For Nature (WWF)-Indonesia merupakan satu badan inisiatif daripada Indonesia dalam memberi kesedaran dan memelihara ekosistem dan biodiversiti di Indonesia, termasuklah hidupan liar, ekosistem hutan, ekosistem laut, dan juga jejak karbon industri (footprint).
Jika sebelum ini, kita sering kali mendengar tentang fungsi pengecaman wajah untuk manusia, namun kini, Edwin H Chaidir, Pengurus IT, WWF Indonesia berkongsikan bagaimana teknologi AWS membantu mereka untuk merekod kesemua jenis orang utan, termasuklah ekspresi wajah, emosi dan sebagainya dengan menggunakan sistem pengecaman wajah untuk orang utan.
Jika ada yang bertanya mengapa pihak mereka menggunakan penjejak tertentu pada haiwan liar yang lain, tetapi menggunakan sistem pengecaman wajah hanya untuk orang utan, hal ini adalah kerana haiwan ini adalah unik dan mampu untuk membuang penjejak dengan mudah berbanding yang diletakkan pada haiwan yang lain.
Untuk merekodkan data orang utan ini di Indonesia, mereka menggunakan teknologi pembelajaran mesin daripada AWS untuk membuat pengecaman wajah dengan hanya mengambil gambar orang utan dan dapat merekodkannya secara automatik. Menurut Chaidir, proses pemeliharaan dan merekod pergerakkan mereka memerlukan tempoh masa yang lama dan tenaga kerja yang banyak. Namun, selepas menggunakan teknologi pembelajaran mesin daripada AWS, untuk automasikan proses pengecaman dan merekod data berdasarkan ciri-ciri fizikal mereka, dengan menggunakan beberapa fungsi daripada AWS. Antaranya adalah Amazon S3, AWS SageMaker, AWS Lambda, dan Amazon API Gateaway.
Pihak WWF berhasrat untuk kembangkan inisiatif ini dan gunakannya pada haiwan liar yang lain, seperti harimau, ikan jerung, dan sebagainya. Bagi mereka yang sebelum ini hanya bergantung kepada pengecaman gambar secara manual, dan mempunyai banyak data yang tidak digunakan sepenuhnya, AWS sedikit sebanyak membantu organisasi ini untuk menjejak, memelihara haiwan liar dan ekosistem di Indonesia dengan lebih mudah, pantas dan teratur.