Apa Itu Perusahaan Sosial Dan Bagaimana MaGIC Membantu Perusahaan Sosial Di Malaysia?

Apa Itu Perusahaan Sosial Dan Bagaimana MaGIC Membantu Perusahaan Sosial Di Malaysia?

Diterbitkan pada Okt 4, 2019 oleh .

Usahawan sosial atau Social Enterprise (SE) merupakan sebuah entiti perniagaan yang berdaftar di bawah undang-undang bertulis yang mempunyai kewangan yang baik sekaligus dapat memberi impak kepada sosial dan juga alam sekitar. Menurut MaGIC, perusahaan sosial di Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk dijadikan sebagai pekerjaan yang stabil, dan dalam masa yang sama dapat menyatukan semua lapisan masyarakat termasuklah komuniti terpinggir. Hal ini sekaligus dapat memberikan impak yang besar kepada pembangunan ekonomi negara. Ia juga merupakan salah satu aspek dalam Teras Strategik dan komponen penting dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030).

Bagi MaGIC, perusahaan sosial menggalakkan usahawan-usahawan untuk mencapai konsep 3P, iaitu Planet, People, dan juga Profit dalam syarikat mereka. Perusahaan sosial ini juga dilihat mampu untuk merealisasikan 17 matlamat pembangunan mampan ( Sustainable Development Goals, SDG) yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Apabila ditanya berkenaan takrifan sebenar tentang apa itu Usahawan Sosial, samaada adakah ia merupakan sebuah platform, komuniti atau pun perusahaan tertentu, pihak MaGIC menyatakan bahawa ia merupakan gabungan kepada ketiga-tiga aspek ini dan ia bergantung kepada dimana sesebuah perusahaan itu berada dalam spektrum tersebut.

Ia akan menjadi satu platform atau komuniti jika anda merupakan seorang yang berperanan penting dalam industri seperti usahawan sosial tersendiri, pemberi dana, atau penggubal dasar. Manakala, dari segi platform pula, MaGIC menjalankan platform akreditasi perusahaan sosial, (Social Enterprise Accreditation, SE.A) yang diiktirafkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yang dapat memberikan pelbagai bantuan dari segi kemudahan dan manfaat seperti insentif cukai dan sebagainya.

Para usahawan sosial boleh berfungsi sebagai perniagaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat bernilai bilion dolar atau juga sebagai pengendali perniagaan industri mikro atau kotej (cottage). Ketiga-tiganya mempunyai persamaan antara satu sama lain, iaitu mampu untuk membuat keuntungan sambil memberi kesan positif kepada semua pihak, dan harus beroperasi sebagai perusahaan sosial bagi membendung pelbagai krisis yang dialami oleh setiap lapisan masyarakat.

Seseorang usahawan sosial yang berjaya perlulah mempunyai wawasan dan mempunyai daya keinginan untuk menggunakan kemahirannya dalam usaha bagi menyumbangkan impak positif kepada semua lapisan masyarakat, termasuklah alam sekitar sekaligus dapat membantu pembangunan ekonomi di Malaysia.

Setiap usahawan sosial perlulah mempunyai misi sosial mereka yang tersendiri. Sesebuah perusahaan sosial perlu mempunyai 3 kriteria utama sebagai Model Perniagaan (Business Model) mereka. Ketiga-tiga kriteria ini merupakan penanda aras kelayakan untuk sesebuah perusahaan atau organisasi sosial untuk berjaya. Tiga kriteria utama tersebut adalah:

1. Mewujudkan impak sosial atau alam sekitar yang positif secara proaktif. 

Penyataan yang jelas tentang sesebuah perusahaan atau organisasi sosial pada laman web mereka DAN/ATAU dalam perlembagaan syarikat. Dengan penyataan matlamat yang jelas, ia sedikit sebanyak mampu menjadikan garis panduan untuk hala tuju sesebuah perusahaan atau organisasi sosial. Sebagai contoh “Sasaran impak kami adalah untuk meningkatkan kesejahteraan ibu tunggal berpendapatan rendah,” atau “Matlamat kami adalah mengurangkan jumlah pembuangan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah”.

2. Menyumbangkan sumber yang signifikan kepada matlamat sosial atau alam sekitar. 

Sesebuah perusahaan atau organisasi sosial perlulah mempunyai kewangan yang kukuh dan dapat menunjukkan bahawa kos yang dibelanjakan oleh mereka adalah penting dalam kerja-kerja impak sosial atau alam sekitar semasa membuat perbandingan keuntungan tahunan atau kos perniagaan.

Jika dirujuk pada Garis Panduan Akreditasi Perusahaan Sosial (SE.A), sesebuah perusahaan sosial hendaklah memperuntukkan 51% daripada keuntungan mereka dalam melaksanakan matlamat sosial dan alam sekitar ATAU dengan mewujudkan dasar pengambilan pekerja dari kalangan golongan yang tidak berkemampuan. Bagi perusahaan sosial, golongan ini perlulah menyatakan komitmen mereka terhadap matlamat dalam memberi impak kepada sosial atau alam sekitar dengan memberikan sumbangan dalam model perniagaan mereka sekurang-kurangnya 35%.

3. Mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh. 

Lebih 50% daripada hasil jualan barangan atau perkhidmatan daripada pelanggan hendaklah diperolehi untuk sesebuah perusahaan sosial, DAN BUKAN daripada sumbangan atau juga geran. Perusahaan sosial juga perlulah mempunyai model perniagaan yang berkebolehan untuk menjana pendapatan dan keuntungan dalam masa yang sama. Pendapatan tersebut perlulah ditakrifkan mengikut Piawaian Perakaunan Malaysia nombor 9, iaitu “Pendapatan”. Perusahaan sosial ini seterusnya akan dinilai berdasarkan jumlah pendapatan yang dilaporkan dalam penyata kewangan yang terkini.

Sasaran MaGIC untuk keusahawanan sosial ini adalah luas dan terdiri daripada pelbagai pihak yang boleh menjana pendapatan dan memberi impak positif dalam pembangunan ekosistem keusahawanan sosial Malaysia.

Antara program atau kempen yang dianjurkan oleh MaGIC dalam usaha untuk mempromosikan program Usahawan Sosial ini kepada masyarakat adalah:

1. SE Bootcamp – program yang memberi peluang kepada setiap individu yang mempunyai idea untuk diasah dan mengubahnya menjadi sebuah perusahaan sosial. Melalui program ini, para peserta dapat mempelajari cara-cara perusahaan sosial yang berjaya dan dapat melatih kreativiti serta inovasi mereka dalam usaha untuk membezakan perniagaan mereka dengan para pesaing.

2. SE Knowledge Day – program ini berjalan selama satu hari yang mana pihak MaGIC akan memberi didikan dan penerangan secara mendalam tentang perusahaan sosial di seluruh negara melalui rangkaian ekosistem MaGIC. Program ini juga dapat memberi kesedaran tentang bagaimana MaGIC boleh membantu para peserta menjadi sebuah perusahaan sosial yang berjaya.

3. Pemangkin Usahawan Sosial Hebat (PUSH) – Program ini adalah satu inisiatif pembangunan kepada mikro-keusahawanan di mana latihan kemahiran dan pengetahuan akan diberikan kepada golongan komuniti B40 melalui proses perantisan. Latihan akan diberikan oleh para usahawan dan para perusaha sosial sedia ada yang bertujuan untuk memberi peluang pembangunan sara hidup golongan dan komuniti B40 ini.

4.Kempen “Buy for Impact” – Kempen ini disasarkan untuk memupuk kesedaran budaya membeli yang dapat memberi impak positif diantara rakyat Malaysia, sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta.

5. Platform Mentorship – program ini amat disarankan kepada mereka yang baru atau ingin menceburi bidang perusahaan sosial. Ia merupakan satu platform yang dapat memberi khidmat nasihat daripada beberapa senarai mentor daripada pelbagai sektor yang mempunyai kemahiran untuk memberi pandangan dalam haluan sesuatu perniagaan. Platform ini boleh disertai secara percuma, samaada secara bersemuka atau secara panggilan video selama 30 minit untuk setiap sesi.

Antara pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan usahawan sosial ini adalah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yang berperanan sebagai penyelaras dan pemegang bidang kuasa tunggal dalam sektor perusahaan sosial di Malaysia. Garis Panduan Akreditasi Perusahaan Sosial (SE.A) ini telah dilancarkan oleh MED pada awal tahun 2019. Proses Akreditasi ini dijalankan untuk menyelaraskan pengiktirafan mana-mana perniagaan yang ingin menjadi perusahaan sosial. Hal ini adalah bagi membendung penyalahgunaan takrif atau berlaku sebarang salahlaku perniagaan atas nama perusahaan sosial.

Melalui agensi-agensi MED, ia membolehkan para perusahaan sosial untuk membuat pembiayaan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Jadi, dengan SE.A yang sah, sesebuah perusahaan sosial boleh membuat tuntutan cukai, menyertai jaringan sosial di Malaysia dan memperolehi pelbagai akses kepada program, peluang kerjasama dan pertukaran ilmu sesama perusahaan sosial.

Akhir sekali, MaGIC berharap dapat memupuk semangat keusahawanan sosial yang mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu ekonomi baru di Malaysia. Pihak mereka juga turut berharap untuk terus dapat mendidik lebih banyak agensi kerajaan mengenai potensi mereka dalam semua sektor perniagaan dan industri di Malaysia.

Layari: Laman Web MaGIC Untuk Maklumat Lanjut Berkenaan Usahawan Sosial 

Penafian: Advertorial daripada MaGIC


TIPS & ULASAN