Cari @ Amanz

Hari ini Vivo Malaysia telah pun melancarkan Vivo V17 Pro secara rasmi. Ia adalah kemaskini kepada Vivo V15 Pro, yang mana dilancarkan pada awal tahun. Cip pemprosesan masih sama, iaitu Snapdragon 675 – tetapi harga lebih murah dan terdapat lebih banyak kamera. Adakah ianya berbaloi untuk dimiliki?

Peranti ini sudah pun masuk ke makmal ujian Amanz dan kami dapat mencuba peranti ini. Dalam artikel ini akan saya ceritakan pendapat, sama ada peranti ini berbaloi dimiliki atau pun tidak.


Spesifikasi

Vivo V17 Pro menggunakan skrin 6.44-inci Super AMOLED Ultra FullView Display, rekaan nirbingkai dan resolusi FHD+. Cip pemprosesan sama dengan V15 Pro, iaitu Snapdragon 675. Cuma kali ini hanya terdapat satu variasi iaitu 8GB RAM dan 128GB storan dalaman. Bateri pula adalah 4100mAh dengan sokongan pengecasan pantas Dual Engine Fast Charging 18W. Menariknya, ia kini menggunakan USB-C dan bukannya microUSB.

Membezakan lagi V17 Pro dengan V15 Pro adalah tetapan kamera yang digunakan. V17 Pro menggunakan enam kamera secara keseluruhan, kuad-kamera di belakang dan dwi-kamera pada kamera pop-naik. Kuad-kamera di belakang menggabungkan lensa 48MP + 8MP ultra sudut lebar + 2MP sensor kedalaman + 2MP makro dan kamera swafoto adalah gabungan 32MP dan 8MP ultra sudut lebar. Untuk pengimbas cap jari, Vivo menggunakan bawah skrin jenis optikal.

Pendapat – Betul Ke Pro?

Apa yang anda perlu ingat adalah, jenama Vivo bukan lagi peranti buatan China yang murahan. Kita biasa dengan keluhan orang, “alaa, phone China – mesti tidak bagus!”. Jika itu yang masih anda fikirkan, anda silap. Ini kerana, peranti Vivo kini setanding dengan peranti-peranti hebat lain. Ya, benar – agak mengecewakan yang Vivo masih mengekalkan cip pemprosesan Snapdragon 675 dan tidak menaiktaraf kepada siri Snapdragon 7xx. Tetapi dengan pengoptimasian FuntouchOS 9.1, prestasi adalah berganda laju dan pantas.

Cubaan menatal ke semua arah dilihat amat memuaskan. Ia sungguh pantas, lagi lancar. Begitu juga membuka aplikasi, peralihan animasi dan lain-lain. Ia terasa seperti sebuah peranti mercu. Untuk bermain permua, mod permua pada peranti ini kini lebih menarik. Mod permua seringkali adalah untuk meningkatkan prestasi, “melajukan” Internet dan sebagainya. Tetapi pada peranti Vivo ini, terdapat fungsi mengubah suara. Jadi jika bermain permua seperti PUBG Mobile, kita boleh mengubah suara kita sebagai suara yang unik seperti Artificial Intelligence, Commander dan banyak lagi.

Fokus Vivo kali ini adalah kepada kamera. Vivo mengimplementasikan pelbagai fungsi pada kamera kali ini. Enam kamera pada peranti ini bukan gimik. Ia benar-benar mempunyai fungsi seperti yang ternyata pada atas kertas. Menurut Vivo, peranti ini juga menggunakan algoritma baharu untuk tetapan enam kamera ini. Kita mulakan dahulu dengan kamera belakang. 48MP adalah klise dengan peranti tahun ini. Jadi tidak hairan jika Vivo menyertakannya. Apa yang mengambil perhatian adalah lensa ultra sudut lebar 8MP yang dilihat mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Kemudian adalah lensa makro yang boleh mengambil gambar jarak dekat dengan kualiti yang sangat tajam, butiran yang jitu dan warna yang terang. Walaupun tiada lensa telefoto, apabila zum pada jarak dekat kualiti gambar tidak terjejas. Begitu juga dengan lensa bokeh yang jelas di sini bukan gimik. Mengambil gambar bokeh, kini latar belakang mempunyai kabur yang kemas dan pengasingan antara subjek dan latar belakang mempunyai prestasi yang baik. Lihat sampel gambar dan anda dengan sendiri.

Sudah tentu, mod malam adalah ciri yang wajib disertakan pada peranti moden. Vivo V17 Pro menggunakan AI Super Night Mode pada kamera belakang dan Super Night Selfie pada kamera swafoto. Pada mod malam inilah yang Vivo sertakan algoritma baharu. Dalam beberapa situasi, mod auto kecerdasan buatan lebih baik berbanding mod malam. Ini kerana mod malam pada peranti ini pada saya belum cukup pintar untuk menandingi Huawei atau Pixel. Tetapi, ia sesuai dengan harganya.

Beralih kepada pengecasan pula, Dual Engine Fast Charging hanya terhad kepada 18W. Vivo menggunakan sistem 9V2A, yang pada kami adalah agak perlahan. Kenapa perlu ikut Apple yang jauh tertinggal di belakang dengan pengecasan pantas 18W? Sedangkan Vivo ada sistem pengecasan Super FlashCharge yang jauh lebih pantas. Tetapi syukur, Vivo menggunakan USB-C dan tidak lagi microUSB.

Rekaan

Ia masih kelihatan seakan Vivo V15 Pro dari segi bentuk. Tetapi dengan kamera yang panjang di belakang pada bahagian tengah ia membezakan antara V15 Pro dan V17 Pro. Pada bahagian hadapan, peranti ini direkan dengan kemas sekali – bingkai keseluruhan adalah nipis dan hampir sekata. Boleh dikatakan mirip iPhone 11 bingkainya. Depan dan belakang adalah kaca, di belakang adalah kaca 2.5D yang melengkung. Rekaan kamera pop-naik dwi-lensa adalah menarik dan kelihatan seakan mata robot.

Di sisi kiri terdapat butang fizikal menyeru Google Assistant, di kanan pula adalah butang kuasa dan butang aras suara. Beralih ke bahagian atas adalah di mana terletaknya kamera pop-naik swafoto, mikrofon dan port  bicu audio 3.5mm dan akhir sekali di bawah adalah port USB-C, slot kad SIM dan kekisi pembesar suara.

Masalah pada peranti ini adalah, walaupun kaca ia terasa seperti plastik dan sangat murah. Jika dibandingkan dengan V15 Pro, V15 Pro terasa lebih premium dan ‘padu’ berbanding V17 Pro. Mungkin disebabkan ini, V17 Pro boleh dijual lebih murah berbanding V15 Pro pada hari pelancaran. Kemudian warna yang ditawarkan adalah lebih menarik dan kelihatan “pro”. Warna pada unit kami adalah warna Crystal White dan warna lain yang Vivo tawarkan adalah Knight Black.

Konklusi

Untuk peranti kelas pertengahan, Vivo V17 Pro adalah mahal. Ia dijual pada harga RM1,699 untuk variasi 8GB RAM dan 128GB storan dalaman. Pada harga ini, Xiaomi Mi 9T Pro adalah lebih berbaloi jika anda pentingkan prestasi dan pengecasan yang lebih pantas. Tetapi jika fokus anda adalah pada rekaan yang kelihatan lebih “premium”, kamera yang lebih “profesional” dan inginkan teknologi kamera pop-naik yang mempunyai lensa sudut ultra lebar – Vivo V17 Pro agak memadai. Oh ya, kerangka yang disediakan dalam kotak Vivo V17 Pro adalah kerangka plastik keras dan ketat, bukan kerangka silikon yang “murah” dan mudah kekuningan.

Vivo V17 Pro sudah pun boleh dibeli di Malaysia pada hari ini di mana-mana platform rasmi seperti kedai Vivo sendiri, Shopee, penjual-penjual diiktiraf dan banyak lagi. Adakah anda akan membelinya?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd