Cari @ Amanz

Ura-ura mengatakan yang Xiaomi akan melancarkan Mi MIX 4 pada tahun ini. Peranti ini dikatakan adalah generasi baru Mi MIX, selepas Mi MIX 3 5G. Turut kedengaran juga yang Mi MIX 4 adalah peranti pertama Xiaomi yang akan menggunakan lensa 108MP hasil kerjasama Xiaomi dan Samsung. Tetapi semuanya salah!

Menurut Edward Bishop, selaku pengurus promosi Xiaomi – tiada peranti Mi MIX lain pada tahun ini kecuali Mi MIX Alpha. Ini bermakna, hanya peranti “konsep” Mi MIX yang bernilai lebih RM11,000 sahaja peranti Mi MIX tahun ini. Tiada Mi MIX 4. Mi MIX Alpha adalah peranti dengan nisbah skrin-ke-badan melebihi 180%. Ia seakan sebuah peranti yang dilipat kebelakang, tetapi tidak boleh dibuka. Bahan binaan juga adalah amat premium, seperti titanium, silika dan alumina.

Tetapi pada pendapat saya, Mi MIX Alpha adalah “gimik” baharu Xiaomi. Seperti Mi MIX yang pertama, ia dilancarkan pada November 2016. Ketika itu Mi MIX adalah peranti kedua dengan rekaan “nirbingkai” selepas Sharp Aquos Crystal. Mi MIX juga dikatakan adalah peranti “konsep” dan hanya dihasilkan dalam kuantiti terhad. Tetapi hanya seketika sahaja, kemudian peranti ini bersepah dijual secara import pada harga yang semakin lama semakin murah. Mungkin Mi MIX Alpha juga akan menerima nasib yang sama kelak? Kita lihat sahaja nanti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd