GoPro Hero 8 Black akhirnya dilancarkan sebentar tadi selepas rekaannya tertiris dua bulan yang lalu. Kamera aksi ini hadir dengan kerangka khas Media Mod yang membolehkan pelbagai aksesori digunakan oleh pengguna untuk tujuan videografi.
Pengguna boleh menyambung skrin LCD Display Mod yang memudahkan proses mengambil swavideo. Terdapat juga aksesori Lighting Mod yang merupakan lampu LED dengan keterangan 200 lumens. Media Mod ini sendiri dilengkapi sebuah mikrofon shotgun untuk rakaman audio yang lebih berkualiti. Kedua-dua Mod yang dijual ini hadir dengan pek baterinya tersendiri dan tidak menjejaskan hayat rakaman video kamera.
GoPro Hero 8 Black menyokong rakaman video sehingga 4K 60FPS dan mengambil gambar 12-Megapixel dengan HDR. Mod HyperSmooth 2.0 membolehkan rakaman video yang stabil manakala TimeWarp 2.0 pula membolehkan rakaman video hiper perlahan diambil.
Kamera GoPro Hero 8 Black dijual pada harga $399 (~RM1675) sebuah. Aksesori Media Mod pula pada harga $80 (~RM336), Display Mod pada harga $80 (~RM336) dan Light Mod pula pada harga $50 (~RM210).