Cari @ Amanz

HP Spectre x360 13 pada hemat kami adalah antara komputer riba tercantik yang dilancarkan tahun lalu. Kemasannya amat bergaya dan premium kelihatan seperti kapal angkasa filem fiksyen sains. Pihak HP telah mengumumkan model dikemaskini HP Spectre x360 13 dengan cip Intel generasi ke-10 Ice Lake serta sokongan Project Athena.

Ia masih dilengkapi skrin 13″ OLED dengan resolusi 4K dengan keterangan 400 nits. Pemproses Intel Core i7 generasi ke sepuluh dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan sehingga 1TB SSD NVMe. Skrin boleh diputarkan 360 darjah untuk menjadikannya seperti sebuah tablet.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam aluminium dengan berat sekitar 1.3 kilogram. Terdapat port USB-C pada bahagian bicu dengan sokongan Thunderbolt. Sistem Windows Hello membolehkan Spectre X360 dinyahkunci menggunakan wajah. Bagi mereka yang mementingkan privasi pula, terdapat suis fizikal yang menutup kamera secara fizikal.

Akhir sekali menerusi Project Athena, komputer riba ini dapat berfungsi sehingga 22 jam dengan sekali caj. Di Amerika Syarikat ia dijual pada harga bermula $1099 (~RM4606).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd