Cari @ Amanz

Berapakah akaun yang dimiliki oleh anda pada waktu ini? Kerana kita adalah generasi atas talian, kami  yakin ia melebihi dari dua puluh. Kami juga yakin ramai yang terlupa akaun-akaun yang pernah digunakan. Rata-ratanya menggunakan sistem simpanan kata laluan bagi memudahkan proses log masuk. Google hari ini mengumumkan Password Checkup yang memeriksa sama ada akaun yang disimpan telah tertiris ke arena web. Ini adalah kesinambungan dari pemalam  Password Checkup untuk Chrome yang diperkenalkan Februari lalu.

Fungsi terbaru ini boleh diakses menerusi laman Password Manager anda. Sejurus selepas melog masuk, anda dapat melihat pilihan untuk Password Checkup. Ia akan menganalisa kesemua akaun dan kata laluan yang disimpan. Ia kemudian akan memberikan amaran jika maklumat akaun pernah tertiris sebelum ini. Google memeriksa akaun anda dengan pangkalan data 4 bilion akaun yang pernah tertiris sebelum ini.

Selain itu ia turut memberikan saranan untuk mengubah kata laluan yang mungkin digunakan berkali-kali dan juga kata laluan yang dirasakan agak lemah. Untuk melihat sama ada kata laluan yang anda gunakan adalah selamat, sila ke pautan di bawah.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd