Cari @ Amanz

Dron komersial di pasaran kesemuanya menggunakan kuasa bateri. Secara purata ia hanya boleh terbang selama 25 minit yang adalah tempoh masa yang terlalu pendek untuk melakukan pelbagai tugasan. Dengan terdapat perancangan menghantar barang dengan dron, tempoh penerbangan yang lebih lama amat diperlukan. Penyelidik di University of California (UC) Berkeley telah membangunkan bateri terbang yang mengecas dron ketika ia masih di udara,

Bateri terbang ini dilengkapi dua bateri dan juga merupakan sebuah dron. Ia akan terbang ke dron yang memerlukan pengecasan dan mendarat pada dermaga khas pada bahagian atas. Sambungan magnet akan memastikan bateri terbang melekat sepanjang tempoh mengecas.

Selepas mengecas ia akan kembali semula ke permukaan bumi. Menurut penyelidik, sistem ini akan meningkatkan waktu penerbangan dron di antara 12-57 minit. Di atas kertas dengan sistem bateri terbang yang mengecas secara berganti-ganti, sebuah dron boleh terbang selagi motor masih berfungsi. Ia juga boleh digunakan untuk mengecas dron yang kehabisan bateri sebelum sempat pulang ke markas operasi.

Sistem yang dibangunkan ini masih di peringkat percubaan dan membuktikan konsep. Tetapi mungkin di masa hadapan selain dron terbang di udara untuk pelbagai tugas, kita juga akan dapat melihat bateri terbang yang mengecas kesemua dron tersebut.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd