Cari @ Amanz

Di atas talian ramai yang berani mengeluarkan kata-kata yang tidak mampu diujarkan apabila di depan mata. Penggunaan akaun awanama membolehkan komen yang jijik dan menghina ditinggalkan tanpa perlu risau identiti didedahkan. Masalah ini sering dilihat terutamanya di platform media sosial. Bagi memerangi komen negatif ini, Instagram memperkenalkan fungsi Restrict.

Dengan Restrict, pengguna Instagram boleh menyorokkan komen negatif yang ditinggalkan di bawah gambar. Komen tersebut hanya boleh dilihat oleh akaun yang meninggalkannya. Fungsi ini boleh diakses menerusi tiga cara. Pertama dengan menatal ke kiri pada komen yang ingin disorokkan. Ikon dengan tanda seruan akan dapat dilihat. Jika ditekan terdapat pilihan untuk memasukkan akaun ke dalam senarai Restrict.

Kedua ialah dengan pergi ke profil akaun yang meninggalkan komen dan kemudian pergi ke menu tiga titik pada bucu atas. Pilihan untuk Restrict akan dapat dilihat. Ketiga ialah pergi ke tetapan privasi akaun dan memilih Restricted Accounts. Dengan Restrict pemilik akaun menjengkelkan tidak akan tahu komen mereka telah disorokkan dan mereka akan terus meninggalkan komen seperti mencurahkan air ke keladi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd