Cari @ Amanz

Pada waktu ini pasti ramai sudah maklum bahawa Huawei Mate 30 Pro dan Mate 30 tidak hadir dengan perkhidmatan Google Mobile Services (GMS) walaupun ia menggunakan sistem operasi Android 10. Peranti yang dijual di Malaysia sama seperti yang dijual di China. Mereka yang ingin membeli kedua-dua peranti perlu memuat turun aplikasi menerusi Huawei App Gallery sahaja sekiranya proses pemasangan GMS tidak dilakukan.

Tetapi pada waktu ini jumlah aplikasi yang ditawarkan oleh App Gallery adalah kecil jika dibandingkan dengan yang ditawarkan Play Store. Aplikasi dari bank-bank utama Malaysia sebagai contoh langsung tidak wujud di dalam App Gallery. Huawei hari ini mengumumkan insentif kepada pembangun tempatan untuk menghasilkan aplikasi untuk App Gallery menggunakan Huawei Mobile Services (HMS).

Huawei HMS Integration Challenge mencabar pembangun tempatan untuk menggunakan HMS pada aplikasi mereka. Cabaran ini berlangsung dari 23 September hingga 31 Disember 2019. Pembangun aplikasi yang berjaya mengintegrasikan HMS pada aplikasi sebelum 31 Oktober ini akan menerima ganjaran bernilai RM500,000. Ia kemudian berkurangan ke RM300,000 sebelum 30 November dan RM100,000 sebelum 31 Disember 2019. Menurut Huawei App Gallery memberikan aplikasi akses kepada lebih daripada 500 juta pengguna di 170 negara. Proses meluluskan aplikasi pula boleh dilakukan dalam masa tiga hari.

Dengan Huawei mempunyai kebarangkalian yang kecil akan menerima lanjutan lesen perdagangan sementara dengan syarikat A.S, ini adalah cara mereka untuk memastikan aplikasi yang ditawarkan di App Gallery akan setanding dengan yang ditawarkan oleh Play Store. Ganjaran yang ditawarkan kepada pembangun di Malaysia hari ini adalah sebahagian daripada dana $1 bilion (~RM 4.12 bilion) untuk pembangunan aplikasi yang diumumkan Huawei ketika pelancaran global Mate 30.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd