Huawei bukan sahaja terkenal dengan telefon pintar mereka dengan kemampuan kamera yang hebat. Tetapi salah satu sumber pendapatan Huawei adalah produk perkakasan Internet, seperti modem atau penghala. Hari ini, Huawei Malaysia turut mengumumkan harga rasmi penghala Huawei WiFi Q2 Pro, WiFi Q2 Pro Satellite dan WiFi WS5200.
Penghala Huawei WiFi Q2 Pro dijual pada harga RM499. Ia adalah penghala utama yang boleh disambungkan pada WiFi rumah sedia ada dan dikembangkan kepada maksima 200Mbps (ikut pelan langganan). Ia menggunakan teknologi dar Gigahome dan PLC Turbo dan mempunyai sela masa hanya sekitar 35-50 ms berbanding dengan penghala lain yang dikatakan mempunyai sela masa sehingga 460ms. Penghala ini juga mampu menyokong sambungan kepada penghala satelit mereka sehingga 15 buah dan secara tidak langsung boleh meliputi satu kawasan yang besar.
Kemudian, Huawei WiFi Q2 Pro Satellite pula adalah penghala mereka yang kecil. Ia adalah penghala kepada penghala WiFi Q2 Pro. Menarik dengan model Satellite mereka ini, ia menggunakan reka bentuk soket yang boleh terus dipasang dan terus bersambung dengan penghala utama mereka. Nama WiFi dan kata laluan yang sudah ditetapkan pada penghala utama akan diselarikan secara automatik tanpa sebarang tetapan tambahan. Harga jualan pula adalah RM169 sebuah.
Tetapi, jika anda tinggal di kediaman yang kecil seperti flat, apartmen atau hanya menyewa bilik – penghala Huawei WiFi WS5200 adalah pilihan bijak. Harga jualan hanya RM169 dan menyokong kedua-dua jenis rangkaian WiFi 2.4GHz dan 5GHz. Ia juga mempunyai algoritma tersendiri dan menyokong kelajuan Internet menghampiri 1Gbps. Ia juga mempunyai cip pemprosesan kecerdasan buatan, yang mempelajari belajar setiap keadaan sambungan Internet dan secara automatik boleh bertukar-tukar saluran WiFi.