Sebelum ini, pihak AMD telah memperkenalkan siri kad grafik AMD Radeon RX 5700 yang dibina khusus menggunakan teknologi grafik RDNA (Radeon DNA) mereka yang membolehkan mereka yang gemar bermain permainan komputer untuk membina komputer yang boleh menggerakkan permainan-permainan video pada resolusi 1440p.
Hari ini, AMD mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah lagi siri kad grafik yang menggunakan teknologi RDNA melalui AMD Radeon RX5500 dan Radeon RX 5500M yang akan memfokuskan kepada mereka yang lebih gemar bermain permainan video pada resolusi 1080p.
Bermula dengan spesifikasi kad grafik Radeon RX 5500, ia dilengkapi dengan 22 unit perkomputeran (Compute Units), 1408 pemproses strim, memori GDDR6 sebanyak 8GB dan boleh mempunyai kelajuan Boost Clock sehingga 1845MHz.
Pihak AMD mengesahkan bahawa kad grafik ini tidak akan hadir dengan sebarang rekaan penyejuk asal (stock cooler), dan boleh dibeli melalui pembina parti ketiga bermula bulan Disember kelak. Kad grafik ini juga akan ditawarkan melalui pembina-pembina komputer desktop seperti Acer, ASUS, Dell, HP dan sebagainya.
Dalam pada itu, pihak AMD juga mengumumkan kehadiran kad grafik AMD Radeon RX 5500M yang direka khas untuk dimuatkan didalam komputer-komputer riba gaming.
Kad grafik ini hadir dengan spesifikasi lebih kurang sama dengan model desktop, dengan perbezaan dari segi jumlah memori GDDR6 (4GB) dan kelajuan Boost Clock (1645MHz).
Menurut AMD, kad grafik ini akan tiba melalui pembuat-pembuat komputer riba tidak lama lagi.
Kesemua kad-kad grafik ini akan hadir dengan ciri-ciri terbaru AMD seperti Radeon Image Sharpening, Fidelity FX dan Radeon Anti-Lag yang mula diperkenalkan melalui siri kad grafik AMD Radeon RX 5700.
Ini mungkin berita baik bagi mereka yang sedang mengumpul duit untuk membina komputer gamng mereka sendiri ataupun membeli komputer riba gaming yang boleh dibawa kemana-mana.
Buat masa ini, pihak AMD Malaysia masih belum mengumumkan lagi bilakah kad-kad grafik ini akan tiba di pasaran tempatan, mahupun harganya, tetapi kami pasti pasaran Malaysia tidak akan ketinggalan apabila ia diperlihatkan tidak lama lagi.