Cari @ Amanz

Komputer riba gaming yang dikuasakan oleh CPU AMD boleh dikatakan agak jarang dilihat di pasaran tempatan. Komputer riba gaming yang dikuasakan oleh kad grafik AMD boleh dikatakan mustahil untuk dicari.

Kini, MSI dilihat hadir dengan sebuah komputer riba gaming yang hadir dengan kedua-dua CPU dan juga kad grafik daripada AMD melalui model komputer riba gaming terbaru mereka yang dinamakan MSI Alpha 15.

Komputer riba ini dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 7 3750H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan mempunyai storan SSD NVMe sebanyak 512GB. Dari segi kad grafik pula, komputer riba MSI Alpha 15 ini merupakan komputer riba pertama yang dilengkapi dengan kad grafik mudah-alih terbaru daripada AMD, iaitu AMD Radeon RX 5500M.

Dari segi paparan, MSI Alpha 15 ini dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci yang mempunyai resolusi Full HD (1920×1080) dengan kadar segar semula sepantas 144Hz.

Komponen-komponen ini, bersama-sama dengan sistem penyejukan 7 paip haba yang dikemaskini khusus untuk spesifikasi AMD ini menjanjikan pengalaman bermain permainan komputer pada resolusi 1080p yang menyeronokkan.

Tidak kira anda bermain permainan-permainan multi=pemain seperti DoTA 2, League of Legends, Fortnite ataupun tajuk-tajuk AAA seperti Borderlands 3 dan Tom Clancy’s Ghost Recon Breakpoint, MSI mengatakan anda boleh bermain kesemua permainan-permainan tersebut dengan baik.

MSI Malaysia telah meletakkan tanda harga komputer riba MSI Alpha 15 ini pada RM4799, tetapi buat masa ini, mereka masih belum mengesahkan lagi bilakah komputer riba ini akan dilancarkan.

Setiap pembelian komputer riba ini juga akan hadir dengan pilihan satu daripada dua tajuk permainan komputer AAA terbaru, iaitu Borderlands 3 ataupun Tom Clancy’s Ghost Recon Breakpoint.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd