Cari @ Amanz

USB Power Delivery atau USB-PD adalah piawaian pengecasan pantas bersifat universal yang berasaskan USB-C. Tetapi banyak pengeluar tidak mengikut piawaian ini dan hanya mengimplementasikan sistem pengecasan pantas tersendiri yang hanya berfungsi dengan kabel dan pengecas dari mereka sahaja. Sedangkan, jika menggunakan piawaian ini banyak penegcas dari jenama pihak ketiga boleh digunakan. Mungkin pengeluar-pengeluar ini ingin mengaut keuntungan lebih?

Apa-apa pun, jika kita fahami teknologi USB-PD – sebenarnya secara teori ia mampu menyokong pengecasan pantas mencapai sehingga 100W. Setakat ini yang benar-benar menggunakan sistem USB-PD penuh adalah Google pada peranti-peranti Pixel dan yang terkini, Samsung Galaxy Note 10+ dengan kuasa 45W berasaskan USB-PD 3.0 PPS. OnePlus 7 Pro juga menyokong sistem ini, tetapi tidak pantas dan hanya terhad kepada 15W sahaja. Terkini, Google telah mula mewajibkan semua pengeluar untuk mengimplementasikan sistem pengecasan pantas USB-PD pada peranti mereka. Jika ingin gunakan sistem pengecasan pantas tersendiri, sekurang-kurangnya piawaian USB-PD ini masih disertakan.

Jika rujuk kembali dokumen Android 7.0 Nougat yang diterbitkan pada tahun 2016, Google telah mula dengan mengesyorkan yang semua peranti dengan USB-C tidak digalakkan menggunakan sistem pengecasan tersendiri. Tetapi ketika itu Google tidak begitu tegas dan hanya kemaskini pada dokumen ini yang diterbitkan pada 3 September 2019 sahaja, Google mula mewajibkan perkara ini. Walau bagaimanapun, Google tidak mewajibkan sokongan kuasa yang tinggi. Seperti yang saya katakan tadi OnePlus 7 Pro sudah pun mengimplementasikan sistem ini dan begitu juga OnePlus 7T.

Nampaknya Android masih degil dengan piawaian ini, hanya segelintir produk sahaja yang menyokong piawaian USB-PD ini. Cuba lihat Apple, walaupun mereka “bermusuhan” dengan Google dan tidak menggunakan USB-C- peranti mereka masih menyokong piawain USB-PD 18W.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd