Sony PlayStation 5 Akan Dilancarkan Pada Penghujung 2020

Sony PlayStation 5 Akan Dilancarkan Pada Penghujung 2020

Diterbitkan pada Okt 8, 2019 oleh .

Beberapa bulan lalu, terdapat beberapa ura-ura yang mengatakan bahawa Sony sedang giat membangunkan konsol generasi akan datang mereka, yang dikatakan akan dinamakan Sony PlayStation 5.

Terkini, melalui sebuah artikel di laman web PlayStation Japan, Sony telah mengesahkan bahawa mereka akan mula menjual konsol permainan tersebut pada penghujung tahun hadapan.

Beberapa butiran mengenai konsol ini disahkan sekali lagi oleh CEO Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan dan arkitek sistem PlayStation, Mark Cerny yang mengatakan bahawa konsol tersebut akan sekali lagi dikuasakan oleh AMD, dan kali ini menggunakan cip pemprosesan komputer Ryzen 3000 bersama-sama dengan cip pemprosesan grafik Navi, dimana kedua-duanya dibina menggunakan proses 7nm terbaru.

PlayStation 4 Slim

Dalam pada itu, ia turut disahkan bahawa PlayStation 5 akan menggunakan storan SSD, dan bukan lagi cakera keras seperti konsol-konsol sebelum ini. Jumlah storan yang akan dimuatkan masih belum disahkan, tetapi penggunaan storan ini akan menjanjikan masa pemuatan permainan yang lebih pantas.

Cerny menjelaskan lagi dengan storan SSD ini, cara pengguna memasang permainan pada konsol akan berubah juga, dimana pengguna boleh memilih bahagian-bahagian yang mereka ingin pasangkan didalam konsol tersebut, seperti kempen pemain tunggal (single player campaign) ataupun bahagian multi-pemain (multiplayer) untuk membolehkan pengguna bermain bahagian permainan yang ingin mereka main dengan lebih cepat, daripada perlu menunggu semua bahagian permainan tersebut dimuat turun secara penuh.

Bercakap tentang permainan, Mark Cerny turut mengesahkan bahawa permainan-permainan daripada konsol PlayStation 4 boleh dimainkan pada konsol PlayStation 5. Pada hemat kami, ini adalah langkah yang bijak kerana ini akan memberikan PlayStation 5 sebuah pengkalan permainan yang sangat besar yang boleh dimainkan oleh pengguna pada hari pertama, khususnya bagi mereka yang akan memiliki konsol permainan buat kali pertama.

Diantara aksesori-aksesori yang paling penting sepanjang hayat PlayStation ini ialah pengawal permainan DualShock. Kebarangkalian besar pengawal DualShock yang akan mendampingi PlayStation 5 akan dinamakan DualShock 5, tetapi buat masa ini ia masih belum disahkan lagi.

PlayStation Classic

Menurut Cerny. ia pastinya akan hadir dengan beberapa perubahan dari segi rekaan dan ciri. Pertama ialah pengenalan ciri pemicu adaptif, dan sebagai contoh, jika pengguna sedang bermain permainan penembak pertama, bahagian pemicu tersebut boleh diprogramkan untuk mengubah tahap ketegangannya bergantung kepada senjata yang digunakan didalam permainan.

Kedua ialah kemaskini kepada tindakbalas haptik yang lebih halus dan terperinci. Menurut laporan daripada Wired  yang sempat mencuba pengawal DualShock yang baru ini, mereka berkata permainan yang mereka uji, Astro Bot Rescue Mission menunjukkan bagaimana mereka dapat rasakan pelbagai jenis permukaan melalui tindakbalas haptik ini, seperti permukaan pasir, lumpur dan sebagainya.

Diantara yang lebih menarik ialah pengesahan Mark Cerny sebelum ini mengenai sokongan resolusi 8K dan juga ciri Ray-tracing pada konsol tersebut. Beliau mengesahkan sekali lagi bahawa PlayStation 5 akan dilengkapi dengan ciri pengolahan cahaya dan bayang-bayang tersebut, dan ia akan hadir melalui pengolahan cip pemprosesan grafik Navi, dan tidak menggunakan perisian seperti yang disangka sebelum ini.

Beberapa syarikat pembina permainan seperti Electronic Arts dan BluePoint Games dikatakan sudahpun menerima konsol ujian mereka, dan dikatakan sedang membina permainan-permainan baru yang mereka masih tidak boleh umumkan setakat ini.

Nampaknya anda sudahpun boleh mula menabung untuk konsol permainan Sony terbaru, Sony PlayStation 5 ini, yang dikatakan akan dilancarkan sekitar setahun dari sekarang.


TIPS & ULASAN