Carian
Mara Phone Melancarkan Telefon Pintar Pertama Buatan Afrika Sepenuhnya
October 9, 2019 Effi Saharudin

Di dalam filem Black Panther, Wakanda ialah negara yang paling maju di muka bumi dengan kepakaran teknologi yang tidak dapat ditandingi. Tetapi di dunia sebenar, Afrika ialah benua yang agak ketinggalan kerana menjadi mangsa kolonialisme, rasisme dan korupsi yang sistemik. Oleh itu penduduk Afrika megimport peranti keluaran negara lain. Rwanda ingin mengubah situasi ini dengan menghasilkan Mara Phone

Mara Phone Mara Z dan Mara X ialah dua peranti pertama yang dilancarkan dengan sistem operasi Android One serta Android Go. Menurut ketua pengarah urusan Mara Phone Asish Thakkar, peranti keluaran mereka adalah yang pertama 100% buatan Afrika dengan kesemua 1000 komponen dikilangkan sendiri. Peranti lain di Afrika menurut beliau sekarang memasang komponen yang diimport dari negara luar.

Walaupun 100% buatan tempatan harga jualan peranti adalah agak tinggi dengan Mara Z dijual pada harga 175,750 Rwandan francs (~RM795) dan Mara X pula pada harga 120,250 Rwandan francs (~RM544) . Peranti paling mampu milik Samsung sebagai perbandingan dijual pada harga 50,000 Rwandan francs (~RM226).

Mara Z dilengkapi skrin 5.7″ HD+, dijana cip Snapdragon 435, memori 3GB RAM, storan 32GB, kamera utama 13MP, kamera swafoto 13MP dan bateri 3075 mAh.

Mara X dilengkapi skrin 5.5″ HD+, dijana cip Mediatek MT6739, memori 1GB RAM, storan 16GB, kamera utama 13MP, kamera swafoto 5MP dan bateri 3500mAh.

Mara Phone berharap pelanggan akan sanggup membayar lebih untuk kualiti dan juga kebanggaan membeli peranti yang seratus peratus dihasilkan di benua Afrika.

Komen