Cari @ Amanz

iPhone 11 dan 11 Pro diperlihatkan bulan lalu dengan sistem kamera baharu yang diletakkan di dalam bonjol berbentuk empat segi.  Sedikit aneh di dalam bonjol ini wujud lebih banyak bonjol untuk lensa kamera. Bonjol-sepsi ini membuatkan peranti perlu digunakan dengan kerangka bagi mengelakkan kerosakan berlaku pada lensa kamera. Ini tidak dapat dielakkan kerana lensa kamera yang tebal perlu digunakan kerana halangan hukum fizik serta optik.

Tetapi lensa baharu yang dihasilkan oleh penyelidik dari University of Utah boleh menyelesaikan masalah ini. Lensa ini hanya setebal beberapa mikron dan adalah seribu ganda lebih nipis berbanding lensa yang digunakan pada telefon pintar. Ia juga dua puluh kali ganda lebih nipis berbanding ketebalan rambut manusia. Sungguhpun begitu penyelidik berkata ia masih memberikan prestasi optik yang sama seperti lensa konvensional sedia ada.

Lensa konvensional mengarahkan cahaya dengan menggunakan prinsip pantulan ke sensor kamera. Lensa baharu ini mempunyai banyak struktur mikro untuk melakukan tugas yang sama sekaligus membolehkan ia mempunyai saiz fizikal yang lebih nipis.

Untuk menghasilkan lensa ini, proses penghasilan menggunakan polimer baharu dicipta bersama dengan algoritma untuk mengira geometri struktur mikro. Lensa masih lagi di peringkat prototaip tetapi membuka pintu kepada peranti tanpa bonjol menjadi realiti di masa hadapan. Buat masa ini University of Utah meramalkan penggunaannya pada dron yang ringan dan kamera penglihatan malam anggota tentera.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd