Cari @ Amanz

Awal tahun lepas, Intel telah mengumumkan sebuah kerjasama yang cukup menarik dengan pihak AMD, dimana cip pemprosesan komputer Intel digabungkan dengan cip pemprosesan grafik AMD.

CPU tersebut, yang dinamakan Intel Kaby Lake-G ialah gabungan CPU Intel generasi kelapan dan cip grafik Radeon Vega dibangunkan untuk bertanding dengan komputer-komputer riba yang menggunakan cip pemprosesan grafik NVIDIA yang hadir dengan pelbagai konfigurasi.

Terdapat beberapa jenama komputer riba yang dilihat menggunakan cip pemprosesan ini, seperti Dell, HP dan Acer, tetapi sambutan terhadapnya dikatakan tidak begitu menggalakkan, dan ini menyebabkan Intel membuat keputusan untuk menghentikan pembuatan CPU tersebut.

Menurut Intel lagi, mereka akan berhenti mengambil pesanan untuk CPU-CPU ini bermula bulan Januari tahun hadapan. Dalam pada itu, mereka turut berkata walaupun jualan CPU tersebut dihentikan, Intel akan terus memberikan sokongan untuknya selama sekurang-kurangnya lima tahun supaya pemilik-pemilik komputer riba dengan CPU ini tidak perlu membeli komputer riba baru.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd