Adobe sedia menawarkan aplikasi Creative Cloud untuk desktop sebelum ini, dimana ia lebih memfokuskan kepada memudahkan pengguna memuat-naik aplikasi Adobe, selain mengemaskini ia kepada versi terbaru.
Ini sekaligus membuatkan ramai yang tidak mengaksesnya dengan aktif. Adobe kini dilihat mengubah perkara berkenaan, dengan memperkenalkan kemaskini baru untuk Creative Cloud di desktop ini.
Adobe Creative Cloud di desktop kini menawarkan akses sebagai sebuah hab keperluan kreatif kepada pengguna. Selain memudahkan pengguna mengakses semua aplikasi Adobe dengan mudah, ia juga turut menawarkan info mengenai langganan anda, melihat aplikasi mengikut kategori, selain memudahkan anda mengakses tutorial berkaitan untuk mempelajari penggunaan sesuatu aplikasi.
Pengguna juga kini boleh mengakses sumber seperti muka-taip, gambar Adobe Stocks dan sebagainya dengan lebih mudah.
Kemaskini baru ini sedang diperkenalkan secara berperingkat, dan dijangka boleh diakses semua pengguna Windows dan Mac tidak lama lagi.