Komputer riba dua dalam satu telah lama wujud di pasaran membolehkan ia menjadi sebuah komputer riba atau tablet. Trend dua dalam satu juga kini merebak ke aksesori audio Two-In-One Music Pill keluaran Vissless. Ia adalah sebuah pembesar suara bluetooth mudah alih yang juga merangkap sepasang fon telinga nirwayar.
Sebuah pembesar suara besar disertakan pada bahagian tubuh Two-In-One Music Pill. Tetapi jika pengguna ingin mendengar muzik secara peribadi, bahagian penutup boleh dibuka untuk mengeluarkan sepasang fon telinga bluetooth nirwayar. Terdapat sokongan pada sesentuh pada bahagian sisi untuk mengawal mainan muzik dan menyeru pembantu maya yang digunakan pada telefon pintar.
Pihak Vissless tidak berkongsi saiz bateri yang digunakan serta berapa lama ia boleh beroperasi dalam mod pembesar suara atau fon telinga. Bagi yang berminat projek pembesar suara merangkap fon telinga nirwayar ini boleh disokong pada laman biayasama Indiegogo pada harga $65 (~RM272).