Cari @ Amanz

Tahun lalu Huawei Mate 20 Pro ialah peranti yang kami nobatkan sebagai yang terbaik. Ia menjadi peranti Huawei yang pertama mendapat tempat pertama setelah sekian lama didominasi oleh peranti Samsung dan Apple. Selepas ia dilancarkan kami mempunyai senarai beberapa penambahbaikan yang ingin dilihat pada Mate 30 Pro kelak.

Pada Ogos lalu Mate 30 Pro akhirnya dilancarkan di Malaysia tetapi tanpa sebarang sokongan rasmi untuk perisian GMS. Ini berlaku kerana sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Ramai yang tertanya-tanya adalah Mate 30 Pro masih berbaloi untuk dimilik tanpa sokongan GMS. Soalan ini dan banyak lagi akan cuba kami jawab di dalam ulasan ini.

Spesifikasi

Huawei Mate 30 Pro
Skrin 6.53″ 1176 x 2400 pixels
Flex OLED HDR10
Pemproses HiSilicon Kirin 990 (7nm)
Cip 2.86 X 2 GHz Cortex A76
2.09 X 2 GHz Cortex A76
1.86 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP16
RAM 8  Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman 256GB UFS 3.0
(NM Card sehingga 256GB)
Kamera Utama 40+40+8+3D Megapixel.
f/1.8+f/1.6+f/2.4, OIS, AIS,HDR
Kamera Depan 32 Megapixel f/2.0
Bateri 4500 mAh
Pengecasan pantas 40W berwayar
Pengecasan pantas 27W tanpa wayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan ~RM3899

Saiz skrin Mate 30 Pro ialah 6.53″ dari keluarga Flex OLED. Ia melengkung 88 darjah pada bahagian kiri dan kanan bagi membolehkan paparan pada sisi peranti. Huawei menamakan rekaan ini Horizon Display dan adalah peranti kedua selepas Vivo NEX 3 dengan skrin seperti ini. Resolusi yang digunakan juga tidak konvensional iaitu 1176×2400 pixel. Skrin ini juga sedikit lebih besar berbanding 6.39″ yang digunakan pada Mate 20 Pro tahun lalu.

Terdapat takuk pada bahagian atas skrin yang menempatkan kamera swafoto, pemancar infra merah dan sensor tiga dimensi bagi melakukan imbasan wajah. Walaupun menurut Huawei saiz takuk ini lebih kecil berbanding Mate 20 Pro dan iPhone 11, ia masih lagi agak besar kerana pengeluar lain sudah mula mengadaptasi rekaan skrin nirtakuk atau lubang kamera.

Apa yang boleh kami boleh pastikan ialah gagang telinga kali ini berada di bawah skrin sama seperti pada P30 Pro. Keperluan mempunyai dagu dan dahi yang nipis memaksa penggunaan sistem pembesar suara yang dari pengalaman kami tidak memberikan kualiti audio yang terbaik. Namun begitu sistem audio stereo masih boleh dinikmati dengan pembesar suara bawah yang menghasilkan audio yang jauh lebih lantang.

Pengimbas cap jari disertakan dengan penggunaan sensor baharu. Kami tidak dapat memastikan sama ada ia dari jenis optikal atau ultrasonik memandangkan ia tidak diaktifkan di reruai pasca pelancaran semalam.

Peranti dijana cip HiSilicon Kirin 990 yang sekali dihasilkan menggunakan teknologi 7nm yang dipadankan dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan 256GB. Tiada pilihan lain ditawarkan buat masa ini. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, anda boleh melakukannya dengan menggunakan kad NM Card sehingga 256GB keluaran Huawei. Adalah aneh melihat hanya satu model dihasilkan kali ini kerana Samsung dan Apple masing-masing sudah mula menawarkan storan sehingga 512GB lengkap dengan sokongan kad mikro SD sehingga 1TB (pada peranti Samsung).

Bintang utama Mate 30 Pro ialah sistem catur-kamera yang menggabungkan sensor 40+40+8+3D TOF yang adalah peningkatan mendadak dari P30 Pro sebelum ini. Sensor SuperSensing RYYB dan Cine Camera RGGB 3:2 yang digunakan bukan sahaja besar dari segi saiz megapixel malahan saiz fizikalnya sendiri. Dengan saiz sensor 1/5.4″ dan 1/1.7″, ia adalah jauh lebih besar berbanding sensor 1/1.25″ yang digunakan Samsung dan Apple. Huawei mengatakan sensor yang besar ini mampu menangkap lebih banyak cahaya sekaligus menghasilkan bukan sahaja gambar tetapi video yang lebih terang.

Dua sensor 40-Megapixel dipadankan dengan lensa sudut lebar f/1.6 dan ultra sudut lebar f/1.8 manakala sensor 8-Megapixel digunakan pada lensa telefoto f/2.4. Seperti biasa lensa keluaran Leica digunakan dengan bukaan lebih besar pada lensa sudut ultra lebar dan zum jika dibandingkan dengan P30 Pro. Satu kekurangan ialah sistem zum digital hanya sehingga 30X berbanding 50X pada P30 Pro. Kemampuan zum optikal dan hibrid masih sama iaitu 3X dan 5X. Ini adalah kerana sistem periskop tidak digunakan kali ini.

Keempat-empat sensor ini disusun dengan konfigurasi 2X2 dalam bonjol Halo berbentuk bulat. Rekaan bulat ini ialah trend yang kembali popular selepas diperkenalkan oleh Lumia 1020 enam tahun lalu. Di hadapan pula sensor 32-Megapixel f/2.0 digunakan untuk swafoto.

Dengan gabungan sensor dan pemproses berkuasa, Mate 30 Pro menjadi peranti pertama Huawei yang mampu melakukan rakaman video 4K 60FPS. Tidak terhenti di situ ia turut mampu melakukan rakaman video gerak perlahan 7680 FPS pada resolusi 720P. Note 10+ yang baru dilancarkan hanya boleh merakam pada kadar 960FPS pada resolusi yang sama. Tumit Achilles Huawei selama ini kualiti rakaman video yang kurang memuaskan. Penambahbaikan yang dilakukan ini amat dialu-alukan kerana kemampuan fotografi yang baik sahaja tidak mencukupi pada tahun 2019.

Bateri pula sebesar 4500 mAh yang merupakan kapasiti kedua terbesar pernah digunakan sejak Mate 20 X (5000 mAh). Ini bersamaan dengan peningkatan 300 mAh berbanding Mate 20 Pro. Pengecasan pantas berwayar 40W disokong lengkap dengan pengecasan nirwayar 27W. Masih terdapat sistem mengecas peranti lain secara nirwayar yang menurut Huawei tiga kali ganda lebih berkuasa berbanding generasi terdahulu.

Spesifikasi lain ialah bluetooth 5.1, NFC, pemancar infra merah dan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac. Kesemua komponen kelas mercu ini dimasukkan ke dalam kerangka yang melepasi piawaian kalis air dan debu IP68. Akhir sekali bicu audio tidak disertakan kerana ia telahpun di buang sejak Mate 20 Pro.

Rekabentuk

Falsafah baharu rekaan Huawei diperkenalkan pada Mate 30 Pro. Rekaan sisi bulat digantikan oleh skrin pada bahagian sisi yang melengkung hampir pada sudut tepat. Ini bagi membolehkan bahagian skrin sisi yang semalam ini hanya wujud sebagai paten menjadi realiti.

Peranti kelihatan hampir tiada bezel apabila dilihat dari hadapan. Tetapi dari bahagian sisi saiz bezel hitam yang digunakan sebenarnya lebih tebal berbanding yang digunakan pada Note 10+. Dari pengamatan kami, separuh permukaan sisi skrin Mate 3 Pro terdiri dari bezel yang tebal ini.

Akibatnya ialah hanya satu butang kuasa fizikal disertakan pada telefon pintar ini. Butang kuasa kini diakses dengan melakukan dwi-tap pada skrin sisi. Kemudian jari digerakkan ke atas atau ke bawah untuk mengubah kelantangan bunyi. Pada awalnya kami agak skeptis dengan sistem ini tetapi ia berfungsi dengan baik. Ia juga mesra pengguna kidal kerana butang kuasa boleh diaktifkan pada kedua-dua sisi peranti. Apabila tahap bunyi diubah, sistem tindak balas haptik bergetar bagi memberitahu pengguna mengesan tatalan yang dilakukan. Harus kami katakan ini ialah sistem yang jauh lebih baik dari yang digunakan pada HTC U12+ yang telah kami ulas sebelum ini.

Satu kekurangan yang wujud ialah untuk melakukan tangkapan skrin, pengguna tidak lagi boleh menggunakan kombinasi butang suara dan kuasa seperti peranti Huawei terdahulu. Ia digantikan dengan mengetuk skrin sebanyak dua kali atau menerusi imbasan pergerakan tangan yang baru diperkenalkan. Dengan hanya beberapa percubaan, kami yakin majoriti pengguna tidak akan mempunyai masalah melakukan tangkapan skrin pada peranti ini.

Sistem palm-rejection yang digunakan juga berfungsi dengan cemerlang. Walaupun dengan tangan menggenggam peranti dengan kemas, peranti masih boleh ditatal tanpa sebarang masalah. Masalah skrin yang terlalu sensitif seperti yang pernah kami lihat pada Galaxy S6 Egde dahulu tidak berlaku pada Mate 30 Pro.

Dengan luasa permukaan kaca yang amat besar, Mate 30 Pro adalah peranti paling licin pernah kami gunakan. Penggunaan kerangka kami rasakan mandatori bagi mengelakkan ia terlepas dari genggaman, Namun begitu kesemua kerangka yang dihasilkan mempunyai bahagian sisi yang terbuka. Akibatnya ialah sisi tidak dapat dilindungi dengan baik jika kerangka digunakan. Ini adalah amat  merisaukan bagi individu tangan mentega seperti kami.

Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah dihimpit oleh talam SIM pada bahagian kiri dan kekisi pembesar suara pada bahagian kanan. Talam SIM yang digunakan adalah dari jenis hibrid menyokong dwi SIM bersaiz nano atau satu NM card. Sebuah pemancar infra merah diletakkan pada bahagian atas. Huawei masih menyertakannya walau pada masa yang sama memasarkan teknologi peranti berhubung mereka.Pujian harus diberikan kerana pengeluar lain telah lama membuang fungsi ini atas alasan ia tidak digunakan oleh kebanyakan pengguna.

Bergerak ke belakang terdapat panel kaca yang juga melengkung pada bahagian sisi. Panel kaca ini memerangkap cap jari seperti periuk kera memerangkap serangga. Bonggol kamera yang digunakan juga agak besar membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Sebuah kaca berbentuk bulat melindungi empat lensa kamera. Tanpa kerangka kami amat yakin kaca ini tercalar selepas digunakan selepas beberapa ketika.

Bagi mereka yang tidak gemar dengan kemasan kaca, model 5G ditawarkan dengan kemasan kulit yang lebih tahan lasak dan mempunyai tekstur kasar yang membuatkannya sukar untuk terlepas dari genggaman. Memandangkan ianya hanya ditawarkan untuk peranti 5G, kemasan kulit ini tidak akan ditawarkan di Malaysia dan ini adalah sedikit mengecewakan.

Kami ingin memuji rekaan Mate 30 Pro kerana ia bukan sahaja kelihatan futuristik tetapi tidak sekadar mengitar semula rekaan peranti tahun lalu. Selepas memulakan trend bonggol kamera berbentuk empat segi yang kini ditiru oleh Apple dan Google, mereka segera berubah kepada rekaan bonggol bulat seperti lensa kamera digital sebenar. Ini adalah selari dengan tujuan mereka menjual Mate 30 Pro sebagai peranti fotografi serta videografi yang terbaik di pasaran.

Huawei sudah mempunyai identiti rekaan mereka sendiri bukan sekadar mengambil inspirasi dari peranti pesaing yang lebih laris di pasaran.

Antaramuka Dan Perisian

Perkakasan yang berkuasa hanya akan berfungsi dengan baik jika dipadankan dengan perisian yang setanding kualitinya. Mate 30 Pro ialah telefon pintar pertama Huawei yang dilancarkan tanpa sokongan Google Mobile Services (GMS) yang rasmi. Sebaliknya ia digantikan oleh Huawei Mobile Services (HMS) dengan aplikasi dimuat turun dari Huawei AppGallery.

Akibatkan pengguna tidak boleh menggunakan perkhidmatan Google Apps seperti YouTube, Gmail dan Google Maps secara terbina. Proses pemasangan GApps pada Mate 30 Pro adalah sedikit berbelit bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan teknikal yang baik. Malahan proses pemasangan secara sideloading ini mendatangkan pelbagai masalah sekuriti. Sistem pemasangan GMS dengan hanya satu klik

Dengan HMS, peranti yang dijual di Malaysia adalah sama seperti yang ditawarkan di China. Gantikan YouTube dengan Youku, Facebook dengan Weibo dan Google pula dengan Baidu. Tetapi masalah yang lebih besar mula dilihat jika anda memerlukan aplikasi perbankan tempatan. Sehingga waktu artikel ini ditulis, bank-bank utama tempatan masih belum ditawarkan menerusi AppGallery. Dengan pengguna yang semakin bergantung kepada aplikasi untuk melakukan pelbagai tugasan. ketiadaan aplikasi perbankan tempatan adalah isu yang amat serius.

Tetapi sekiranya anda termasuk di dalam golongan yang tidak memerlukan langsung aplikasi Google, Mate 30 Pro ialah peranti yang sempurna bagi anda. Tiada langsung masalah privasi anda diintip dan dijejak oleh Google.

Walaupun tanpa GMS, Mate 30 Pro berfungsi dengan cukup baik sekali. Antaramuka EMUI 10 yang berasaskan Android 10 adalah yang paling kemas pernah kami lihat digunakan pada peranti Huawei. Aplikasi boleh dilancarkan dengan pantas tanpa sebarang masalah. Malah sistem navigasi berasaskan gesture yang disokong juga adalah sama seperti yang digunakan pada Android Asli.

Tiada masalah pemanasan, sela masa atau kegagalan operasi kami hadapi sepanjang tempoh ulasan selama seminggu. Malahan terdapat banyak fungsi menarik yang wujud pada Mate 30 Pro yang tidak disokong pada peranti lain. Contoh terbaik ialah Air Gesture yang membolehkan peranti dikawal tanpa sebarang sentuhan.

Sebagai sebuah telefon pintar, kami tidak mempunyai sebarang komen negatif kecuali tiadanya sokongan aplikasi Google secara terbina. Kesemua peranti yang dijual di Malaysia sebenarnya adalah sama seperti peranti yang dijual di China kecuali dengan sokongan bahasa yang lebih baik. Berikut ialah fungsi-fungsi tambahan yang boleh digunakan.

Air Gesture – Mengawal tatalan skrin dan menangkap paparan skrin dengan arahan tangan tanpa menyentuh skrin.

App Twin – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Dark Theme – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Digital Balance – Aplikasi yang menjejak penggunaan peranti. Boleh digunakan untuk mengehadkan masa peranti digunakan sepanjang hari bagi kesihatan digital.

Easy Projection – Mod desktop yang dipaparkan pada skrin lebih besar secara nirwayar. Hanya menyokong peranti Miracast setakat ini. Sokongan Easy Projection secara berwayar masih boleh dilakukan.

Edges – Pilihan menghalang aplikasi dari menggunakan skrin sisi. Amat berguna untuk pelayar web atau pemain video.

Gesture – Pelbagai perkara dapat dilakukan menggunakan gesture seperti merakam skrin dengan mengetuk skrin, melancarkan dua aplikasi serentak dengan melakar garis pada skrin dan menghidupkan skrin dengan dwi-tap.

Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang mengurangkan suara sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Tiga pilihan navigasi iaitu tri-butang, gesture atau Navigation Dock.

Notch – Menyorokkan takuk kamera pada paparan skrin. Peranti kelihatan kembali berdahi menggunakan mod ini.

Nyahkunci Menggunakan Wajah – Menyahkunci skrin peranti dengan menggunakan wajah secara tiga dimensi.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menatal dari bucu bawah skrin ke atas atau dari butang home ke mana-mana butang navigasi yang digunakan.

Optimiser – Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus, pengurusan bateri dan nombor yang dihalang.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

Smart Remote – Aplikasi alat kawalan jauh. Ratusan peranti disenaraikan mengikut pengeluar dan model.

Kamera

Kombinasi sensor 40+40+8+3D TOF Megapixel adalah lebih besar berbanding 40+20+8+3D TOF Megapixel pada P30 Pro. Kekurangan pada kamera peranti Huawei selama ini ialah kemampuan mengambil video yang kurang baik. Masalah seperti video yang kurang lancar dan hanya sekadar 4K 30FPS diselesaikan pada Mate 30 Pro. Ia tiada masalah untuk melakukan rakaman pada tetapan 4K 60FPS menerusi sensor bahari Cine Camera RGGB yang digunakan,

Lensa sudut lebar, ultra sudut lebar, telefoto dan 3D TOF membolehkan peranti digunakan sebagai kamera peranti mudah alih yang fleksibel. Gambar dalam pelbagai situasi boleh diambil tanpa masalah. Satu-satunya kekurangan ialah sistem zum optikal kini hanya sehingga 3X, hibrid hingga 5X dan digital hingga 30X sahaja. Mekanisme periskop P30 Pro tidak digunakan semula. Ini besar kemungkinan kerana walaupun ia memberikan tahap zum yang tinggi, ia tidak boleh melalukan zum yang lancar ketika rakaman video dilakukan.

Aplikasi kamera pula mempunyai antaramuka yang mudah digunakan. Kesemua fungsi asas terpapar kemas pada skrin. Mod manual yang diberikan juga cukup berkuasa untuk pengguna mengubah tetapan mengikut keperluan. Sesuai dengan penggunaan nama Pro, aplikasi kamera Mate 30 Pro memberikan kebebasan berkarya tanpa kekangan perisian yang kami temui pada iPhone 11 Pro Max.

Fungsi tambahan yang disertakan ialah video gerak adi perlahan sehingga ribuan FPS, Monochrome, Dual View, Document, Portrait, Aperture, dan Pro. Kesemuanya boleh diaktifkan sendiri oleh pengguna. Pujian kami berikan kepada Huawei kerana aplikasi kamera yang disertakan adalah cukup lengkap.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar adalah amat baik. Sensor yang besar memastikan dedahan yang baik diambil setiap kali butang kamera dipetik. Seperti yang anda dapat lihat di bawah penghasilan warna adalah tepat, tiada masalah hingar, julat dinamik memuaskan dan objek di dalam imej adalah tajam.

Perubahan warna apabila berubah dari lensa sudut lebar ke ultra sudut lebar kini berkurangan kerana penggunaan sensor bersaiz sama. Sebelum ini pada P30 Pro, warna gambar yang diambil pada lensa ultra sudut lebar adalah lebih sejuk yakini kebiru-biruan berbanding lensa sudut lebar. Perbezaan warna hanya dapat dilihat apabila menggunakan lensa telefoto pada Mate 30 Pro.

Komen negatif yang boleh kami berikan hanya jika kecerdasan buatan Master AI diaktifkan, proses mengambil gambar akan menjadi sedikit lambat. Butang kamera hanya boleh ditekan semula selepas gambar yang diambil sebelumnya telah habis diproses. Tetapi kami perlu berlaku adil kerana ini adalah “masalah” yang turut dapat dilihat pada peranti Android lain apabila mod kecerdasan buatan diaktifkan seperti Note 10+ misalnya.

Di bawah pula ialah sampel gambar mod malam dan monokrom ala Leica. Imej adalah tajam dengan bahagian tingkap dan bangunan kelihatan amat jelas walaupun gambar diambil pada jam 11 malam. Mate 30 Pro membenarkan mod malam digunakan pada ketiga-tiga lensa kamera. Ini tidak boleh dilakukan pada iPhone 11 Pro Max.

Bagaimana pula dengan zum optikal, hibrid dan digital Mate 30 Pro? Adakah ketiadaan mekanisme periskop mendatangkan kesan negatif kepada prestasi pengambilan gambar? Di bawah ialah sampel gambar yang diambil menggunakan zum 1X, 3X, 5X dan 30X.

Sehingga zum 5X, kualiti imej adalah amat baik bagi gambar yang diambil menggunakan sebuah telefon pintar. Kami boleh katakan setanding dengan P30 Pro. Imej mula menjadi kabur pada tetapan zum 10X dan 30X. Kelihatan dengan jelas imej kelihatan jauh lebih lembut dan keperincian objek turun mendadak. Pada waktu, kemampuan zum Mate 30 Pro kami letakkan di tangga kedua di belakang P30 Pro. Ia masih jauh lebih baik berbanding yang mampu dirakam menerusi kamera Note 10+ dan iPhone 11 Pro Max.

Akhir sekali adalah dua sample video iaitu rakaman 4K 60FPS dan gerak adiperlahan 720P 7680FPS. Kualiti video 4K 60FPS Mate 30 Pro adalah sekadar sederhana. Audio tidak sebaik yang boleh diambil menggunakan iPhone 11 Pro Max yang pada waktu ini kami rasakan adalah yang terbaik bagi sebuah telefon pintar. Masa yang diambil untuk tahap cahaya diubah apabila bergerak dari kawasan terang ke gelap adalah sedikit perlahan.  Penstabilan video walaupun baik kelihatan kurang semula jadi. Dapat dilihat peranti bekerja keras untuk mengurangkan gegar sehingga kelihatan sedikit robotik.

Video gerak adiperlahan pula adalah yang paling ekstrem pernah kami lihat. Dunia seakan terhenti apabila dirakam pada kadar 720P 7680FPS. Proses pembakaran gas dari sebuah pemetik apa dapat dilihat jelas lengkap dengan percikan api yang biasanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Mate 30 Pro ialah satu-satunya peranti di pasaran sekarang yang mampu merakam video gerak perlahan sebaik ini.

Audio

Pembesar suara yang disertakan adalah dari jenis stereo dengan satu adalah dari jenis ultrasonik di bawah skrin dengan satu lagi pada bahagian bawah. Oleh sebab itu audio stereo yang dihasilkan adalah tidak seimbang dengan pembesar audio bawah lebih kuat. Ini membuatkan kenikmatan menonton video adalah kurang memuaskan. Dengan kata lain sistem audio Mate 30 Pro adalah sama seperti P30 Pro.

Satu lagi kekurangan paling ketara ialah tiada lagi sokongan Dolby ATMOS sekali lagi kerana kekangan dagangan yang menyebabkan teknologi dari Amerika Syarikat ini tidak dapat digunakan. Ketiadaan Dolby ATMOS dapat disedari. Audio terasa sedikit mendatar, audio bass tidak berdentum pada tahap memuaskan dan treble tidak serangup yang mampu didengari pada Mate 20 Pro dan P30 Pro sebelum ini. Kedua-dua peranti tersebut mempunyai sokongan Dolby ATMOS terbina.

Kualiti audio menggunakan fon telinga juga turut terjejas oleh sebab ini. Jika anda membaca ulasan P30 Pro dan Mate 30 Pro, kami ada menyentuh EMUI 9 tidak menunjukkan tahap bateri aksesori audio bluetooth yang ditambat. Sekali lagi masalah yang sama dapat dilihat pada Mate 30 Pro walaupun EMUI 10 berasaskan Android 10 digunakan. Tahap bateri hanya dipaparkan apabila tahap bateri aksesori sudah menjunam ke 20%.

Mengapa fungsi yang sudah menjadi standard pada peranti Android sejak Android Oreo ini tidak disokong adalah kekal misteri. Oleh sebab itu kemampuan audio Mate 30 Pro kami kategorikan sebagai sederhana bagi sebuah peranti mercu premium.

Penanda Aras

Kirin 990 ialah pemproses terkini keluaran HiSilicon yang dihasilkan menggunakan teknologi 7nm. Dalam ujian penanda aras Geekbench 5 ia mencatatkan 764 markah dalam ujian satu teras dan 2822 markah dalam ujian multi teras. Seterusnya dalam ujian Antutu 3D pula, ia mencatatkan 342,070 markah.

Markah yang dicatatkan dalam ujian Geekbench 5 adalah lebih baik berbanding Snapdragon 855+ yang digunakan pada Asus ROG Phone 2. Sebaliknya berlaku dalam ujian Antutu 3D di mana markah yang dicatatkan adalah lebih rendah. Sungguhpun begitu markah ujian kedua-dua peranti mercu Android ini adalah masih di belakang yang dicatatkan oleh iPhone 11 Pro Max.

Peranti mercu Apple ini mencatatkan 1334 markah untuk ujian satu teras dan 3190 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench 5. Dalam ujian Antutu 3D pula ia mencatatkan 457,695 markah.

Kemampuan pemproses paling berkuasa Huawei masih tidak mampu menyaingi cip terkini keluaran Apple pada waktu ini. Sungguhpun begitu Mate 30 Pro ialah peranti Huawei yang paling lancar pernah kami gunakan. Tiada masalah aplikasi gagal dilancarkan atau berlakunya sela masa. Malahan kemampuan melakukan multi tugas pada Mate 30 Pro adalah lebih baik berbanding iPhone 11 Pro Max kerana saiz RAM yang dua kali ganda lebih besar. Dengan mudah kami nobatkan Mate 30 Pro sebagai peranti Huawei yang paling lancar pernah kami gunakan setakat ini.

Bateri

Dengan bateri sebesar 4500 mAh, tidak mengejutkan ketahanan Mate 30 Pro adalah amat memuaskan. Secara purata peranti dapat bertahan sehingga 26 jam pada penggunaan sederhana dengan skrin terpasang selama 11 jam. Pada penggunaan lebih berat hayat bateri menjunam ke 16 jam dan skrin terpasang selama 12 jam. Sistem pengurusan bateri Huawei memang amat baik sejak P30 Pro lagi. Sungguhpun begitu terdapat beberapa kekurangan yang perlu jelaskan.

Seperti pada P30 Pro, sistem pengurusan Huawei adalah terlalu agresif sehingga menyebabkan notifikasi tidak diterima dan aplikasi dibekukan di belakang. Jika peranti tidak diangkat dari permukaan meja, ia akan membisu tanpa sebarang notifikasi diterima. Aneh sekali ini walaupun  kami tidak memilih Power Saving Mode pada tetapan bateri. Dengan sistem dinyahaktifkan sekalipun, kesemua notifikasi masa nyata nampaknya dihalang. Ini ialah masalah yang masih belum diselesaikan sejak EMUI 10 Beta lagi.

Ketahanan bateri Mate 30 Pro memang adalah amat menakjubkan tetapi dicapai dengan mengelat memberikan notifikasi yang amat diperlukan. Tiada sebarang penyelesaian buat masa ini. Berita buruk ialah anda akan terlepas notifikasi mesej WhatsApp dan emel pada peranti. Berita baiknya pula iala peranti bertahan lama dan anda tidak akan diganggu dengan notifikasi dari peranti.

Bateri yang besar bagi sebuah peranti mercu ini menyokong pengecasan 40W. Proses mengecas sehingga 100% mengambil masa 70 minit. Ini adalah setanding dengan sistem pengecasan 27W pada Note 10+ yang dilengkapi bateri sebesar 4300 mAh. Jika pengecasan nirwayar diperlukan, pengecasan 27W boleh dilakukan bersama dengan kemampuan mengecas semula peranti lain secara nirwayar. Sebuah pengecas 40W disertakan dengan setiap pembelian menerusi port USB-C.

Kesimpulan

Huawei Mate 30 Pro ialah bukti bahawa perkakasan yang baik tidak bermakna tanpa jika tidak disokong dengan perisian yang juga baik. Di atas kertas Mate 30 Pro adalah cukup berkuasa untuk menjadi antara peranti yang terbaik sepanjang 2019. Skrinnya unik, pemprosesnya berkuasa, memori mencukupi untuk melakukan multi tugas, baterinya bertahan lama dan kemampuan kamera yang amat menakjubkan.

Tetapi kesemuanya tidak bermakna jika aplikasi popular tidak dapat dimuat turun kerana hanya ditawarkan di Google Play. Sejarah yang melanda Blackberry 10 dan Windows Phone berulang sekali lagi dengan kali ini giliran Huawei pula menjadi mangsa. Sebagai pengguna Android di Malaysia yang amat bergantung kepada perkhidmatan Google, tiadanya sokongan GMS yang rasmi amat dirasai.  Walaupun kami tahu bagaimana untuk memasangnya pada Mate 30 Pro, langkah yang perlu diambil adalah amat melecehkan.

Jika kami merasakan ia melecehkan, pengguna biasa yang tidak mempunyai kemampuan teknikal pasti akan menghadapi masalah untuk melakukannya. Huawei mengatakan pengguna di Malaysia perlu berpindah ke HMS. Aplikasi pula dimuat turun menerusi AppGallery. Namun begitu aplikasi seperti Waze, Google Maps, Facebook dan perbankan tempatan masih belum ditawarkan pada stor aplikasi Huawei ini. Tanpa aplikasi, peranti akan mati. Ini ialah realitinya sejak lebih tujuh tahun yang lalu.

Apa yang berlaku kepada Huawei Mate 30 Pro ini adalah menyedihkan. Kemampuan kameranya adalah lebih baik berbanding Mate 20 Pro dan hanya sedikit di belakang P30 Pro. Di dalam sesetengah aspek, kameranya lebih baik berbanding iPhone 11 Pro Max dan Note 10+.

Pada harga jualan RM3899 sebuah, sukar untuk menyarankan pembelian peranti yang seperti sebuah kereta lumba yang cantik tetapi tidak hanya dilengkapi dua tayar. Terdapat banyak peranti lain di pasaran mempunyai spesifikasi setanding tetapi tidak memerlukan pengguna melakukan sideloading untuk menikmati aplikasi-aplikasi keperluan harian.

Huawei Mate 30 Pro kini lebih mirip sebuah kamera pintar dari sebuah telefon pintar. Kemampuan kamera yang cantik sahaja tidak mencukupi untuk membuatkannya perlu dimiliki anda sekarang. Dengan kata lain, dari Mate tidak turun ke hati. Bagi yang menyimpan hasrat untuk memilikinya, anda mungkin boleh menanti selama beberapa bulan lagi untuk melihat sama ada Huawei akan diberikan kebenaran untuk kembali menggunakan GMS. Jika ini berlaku, barulah kemampuan sebenar Mate 30 Pro dapat dilihat.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Rekaan peranti yang menarik dengan kemasan premium.
  • Butang kawalan suara atas skrin yang juga menarik kerana boleh digunakan oleh insan kidal atau bertangan kanan tanpa masalah.
  • Kemampuan kamera yang amat baik. Video kini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan peranti Huawei terdahulu.
  • Ketahanan bateri yang amat memuaskan dengan sistem pengecasan pantas.
  • Sistem pengecaman wajah 3D yang pantas. Boleh berfungsi dalam gelap.
  • GMS perlu dipasang secara manual jika ingin menikmati aplikasi-apalikasi popular yang tidak ditawarkan AppGallery.
  • Kualiti audio kurang memuaskan kerana tidak seimbang.
  • Pengimbas cap jari masih dari jenis optikal.
  • Skrin Horizon Display tidak sesuai digunakan pada kebanyakan aplikasi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd