Porsche Taycan 4S Dilancarkan Sebagai Kereta Elektrik Lebih Mampu Milik

Porsche Taycan 4S Dilancarkan Sebagai Kereta Elektrik Lebih Mampu Milik

Diterbitkan pada Okt 15, 2019 oleh .

Porsche melancarkan dua model kenderaan elektrik moden pertama mereka, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S awal September yang lalu. Ia adalah percubaan serius mereka untuk mencabar Tesla selepas mula memperlihatkan konsep Mission E mereka pada tahun 2015. Porsche Taycan yang dilancarkan ini walau bagaimanapun dilihat kurang mampu milik dengan harga jualan bermula dari $150,000 (~RM628,000) sebuah. Semalam mereka melancarkan pula Taycan 4S yang lebih mampu milik.

Porsche Taycan 4S mengekalkan rekaan empat pintu tetapi dengan motor elektrik serta kapasiti bateri yang lebih kecil. Harga jualannya juga berkurangan ke $103,800 (~RM435,000) sebuah. Dari segi spesifikasi ia dilengkapi dua motor elektrik berkuasa 420 kW (sekitar 563 kuasa kuda), bateri sehingga 93.4-kWh dan kelajuan maksimum 250 km/j. Dua versi Taycan 4S dilancarkan iaitu Performance Battery dan Performance Battery Plus.

Dengan pengecasan pantas 800V, bateri kenderaan boleh dicas ke tahap 80% dalam masa 23 minit sahaja. Taycan 4S juga menjadi kenderaan pertama Porsche yang tidak ditawarkan dengan kemasan kulit. Sebaliknya bahan yang lebih mesra alam yang boleh dikitar semula digunakan sesuai dengan imejnya sebagai kenderaan yang kurang mendatangkan impak kepada alam sekitar. Porsche Taycan 4S akan mula ditawarkan bermula Januari 2020 di Eropah terlebih dahulu.


TIPS & ULASAN