Oppo Reno adalah siri baru peranti Oppo. Ia mempopularkan rekaan kamera pop-naik sirip jerung, kamera utama yang rata dan juga bonjol untuk mengelak kamera dari calar. Kini, Oppo meneruskan lagi barisan Reno ini dengan Reno2. Peranti Oppo Reno2 dilancarkan di India pada dua bulan lalu dan kini giliran peranti ini untuk memasuki pasaran Malaysia pula.
Reno2 ini menggunakan skrin 6.5″ AMOLED, FHD+, rekaan nirbingkai penuh dan dengan kecerahan sehingga 500nit. Ia dijana dengan Snapdragon 730G dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Bateri adalah 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas VOOC Flash Charge 3.0 melalui USB-C. Sistem operasi pula adalah ColorOS 6.1 berasaskan Android 9.0 Pie.
Kamera pop-naik sirip jerung Reno2 adalah 16MP, kamera utama pula adalah kuad-kamera yang menggabungkan lensa 48MP + 8MP + 13MP + 2MP. Keunikan pada kamera Oppo Reno2 adalah, lensanya mirip lensa sebenar dengan jarak fokal 16–83mm, kemampuan 5x zum hibrid dan 20x zum digital. Kemudian dengan algoritma baharu, Ultra Dark Mode akan mampu mengubah gambar pada waktu malam seakan siang. Sudah tentu, mod bokeh juga semakin baik dan dengan sokongan OIS dan EIS, ia akan memberikan pengalaman merakam video yang lebih hebat dari sebelumnya.
Oppo Malaysia turut melancarkan Oppo Reno2 F pada hari ini. Ia adalah peranti kelas pertengahan asas mereka dan lebih mampu milik dengan Reno2 biasa. Skrin sama 6.5″ AMOLED, tetapi perlindungannya adalah Gorilla Glass 5. Cip pula adalah MediaTek P70, memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Bateri 4000mAh, rekaan yang sedikit berbeza dan tetapan kamera adalah 48MP + 8MP + 2MP + 2MP. Manakala kamera swafoto adalah 16MP kamera pop-naik biasa, lain-lain elemen Reno2 masih dikekalkan.
Oppo Reno2 dijual di Malaysia pada harga hanya RM2,299. Warna yang ditawarkan adalah Luminous Black dan Sunset Pink. Bagi Oppo Reno2 F pula, harga jualan adalah RM1,599 , dan warna yang ditawarkan adalah Sky White dan Lake Green. Ia boleh dibeli di Malaysia pada 26 Oktober, namun pra-tempahan sedia dibuka sehingga 25 Oktober.