Cari @ Amanz

Oppo Reno2 adalah peranti terbaru dalam siri Reno. Siri Reno adalah siri yang mempopularkan rekaan kamera pop-naik sirip jerung dan dijual pada harga yang agak premium. Ia berada dalam kelas pertengahan, tetapi mempunyai ciri dan fungsi seakan sebuah peranti mercu. Oppo Reno2 sudah pun dilancarkan di Malaysia hari ini dan kami di Amanz telah menguji peranti ini untuk beberapa minggu.

Apakah yang menarik dengan Oppo Reno2? Adakah berbaloi untuk dimiliki, adakah prestasinya lebih hebat atau adakah pengguna Oppo Reno patut tukar ke Reno2? Sepanjang penggunaan peranti ini, ia memberi satu perasaan serba baharu berbanding dengan Oppo Reno. Paling jelas adalah kamera dan prestasi.


Spesifikasi

Oppo Reno2
Skrin 6.5″ AMOLED, FHD+, Nirbingkai
Pemproses Qualcomm Snapdragon 730G
Cip 2×2.2 GHz Kryo 470 Gold
6×1.8 GHz Kryo 470 Silver
Cip Grafik Adreno 618
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 256GB
Kamera Utama 48+8+12+2 Megapixel.
Sudut lebar+ultra sudur lebar+telefoto+monokrom
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.0
Bateri 4000mAh
(VOOC Flash Charge 3.0 20W)
SIM/Telefoni Dwi SIM nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin
Harga Jualan RM

Oppo Reno2 menggunakan skrin 6.5″ AMOLED, FHD+, rekaan nirbingkai penuh dan dengan kecerahan sehingga 500nit. Ia dijana Snapdragon 730G dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Bateri adalah 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas VOOC Flash Charge 3.0 melalui USB-C. Sistem operasi pula adalah ColorOS 6.1 berasaskan Android 9.0 Pie.

Kamera pop-naik sirip jerung Reno2 adalah 16MP, kamera utama pula adalah kuad-kamera yang menggabungkan lensa 48MP + 8MP + 13MP + 2MP. Keunikan pada kamera Oppo Reno2 adalah, lensanya mirip lensa sebenar dengan jarak fokal 16–83mm, kemampuan 5x zum hibrid dan 20x zum digital. Kemudian dengan algoritma baharu, Ultra Dark Mode akan mampu mengubah gambar pada waktu malam seakan siang. Sudah tentu, mod bokeh juga semakin baik dan dengan sokongan OIS dan EIS, ia akan memberikan pengalaman merakam video yang lebih hebat dari sebelumnya.

Pengalaman Penggunaan

Tidak dinafikan yang Oppo Reno2 walaupun adalah peranti “murah” mereka, ia terasa sangat premium. Tidak kira apabila dilihat, dipandang dari jauh atau juga apabila berada di tangan. Peranti ini amat premium dan terasa mahal, jika anda cuba anda pasti akan terfikir yang Oppo Reno2 ini seakan peranti yang dijual melebihi harga RM3K, tetapi tidak. Kita akan mula dengan skrin terlebih dahulu, skrin AMOLED pada peranti ini bukannya Super AMOLED. Secara teorinya, ia adalah sedikit lebih kurang antara satu sama lain. Tetapi, warna hitam masih hitam yang legam. Kemudian dari segi warna, ia agak tajam dan jitu. Butiran juga jelas dan secara keseluruhan, ia mempunyai kecerahan yang baik dan cukup terang.

Beralih kepada prestasi pula, cip yang digunakan adalah Snapdragon 730G. Dengan huruf G yang digunakan, cip ini adalah cip yang sesuai digunakan untuk bermain permua. Pada atas kertas, ia sepatutnya mempunyai prestasi seakan Snapdragon 835 sehingga Snapdragon 845. Ujian pantas yang saya uji, dari segi buka/tutup/pasang aplikasi ia amat laju dan pantas. Tatalan pula lancar dan tiada langsung masalah lengah masa atau sela masa apabila disentuh. Untuk permua pula, Call of Duty Mobile adalah permua pilihan. Sungguh mengejutkan yang pengalaman bermain permua adalah sangat menyeronokkan dan mengasyikkan. Langsung tiada masalah lengah masa, peranti tidak memanas dan amat mengasyikkan. Jujur saya katakan, keseronokan bermain adalah seakan peranti mercu.

Peranti ini juga selesa di tangan, ini kerana ia diperbuat daripada kaca dan dilindungi dengan Gorilla Glass 5. Hanya di hadapan sahaja Gorilla Glass 6. Bagi yang mudah risau dan skeptikal dengan bahan binaan kaca, gunakan sahaja kerangka pelindung seakan kulit yang disediakan dalam kotak. Rekaan juga cantik, seksi dan unik. Lihat sahaja warna Luminous Black dan Sunset Pink ini. Membezakan dua warna ini adalah kemasan, hitam berkilat dan licin – manakala merah jambu adalah kesat dan lebih cengkaman. Tetapi, warna hitam ini mempunyai kilauan biru yang unik dan tampak ‘kacak’.

Kamera

Kamera peranti ini pula menarik dan mempunyai banyak penambah baik. Tidak disangka yang peranti dalam kelas ini mampu menghasilkan imej yang memuaskan dan cantik. Tetapan kamera utama adalah kuad-kamera yang menggabungkan lensa 48MP lensa sudut lebar + 13MP lensa fokus jarak jauh + 8MP lensa sudut ultra lebar + 2MP lensa bokeh dan kamera swafoto adalah 16MP. Apa yang Oppo fokuskan pada kamera Reno2 adalah pengoptimasian dari segi perisian dan algoritmanya kini adalah yang terkini dengan kemampuan yang lebih hebat dari model sebelumnya.

This slideshow requires JavaScript.

Lihat contoh-contoh sampel gambar yang telah diambil. Sampel gambar yang dizum dilihat mempunyai kualiti yang sedikit mengecewakan, namun butiran dan warnanya adalah mencukupi. Lebih-lebih lagi apabila dizum pada keadaan cahaya yang banyak, hasil gambar zum menyimpan lebih banyak butiran. Zum 2x dan 5x pula adalah mengejutkan sangat baik. Siapa sangka peranti dalam kelas ini, mampu mengambil gambar zum dengan warna yang hampir jitu, terang dan tajam. Ujian seterusnya adalah gambar-gambar bokeh, yang mana kini turut menyokong video bokeh melalui kamera swafoto. Kualiti juga lebih baik dari peranti mercu pesaing. Baik kamera utama atau kamera swafoto, hasil gambar bokeh sungguh cantik, bokeh yang kemas, dan sudah tentu kesan lembut dari penuras kecantikan Oppo masih ada – tetapi tidak teruk.

Tidak sah jika ujian mod malam tidak dilakukan. Hasilnya tidak seberapa, tetapi memuaskan. Lihat sampel-sampel yang diambil dari kedua-dua kamera swafoto dan kamera utama.

Lain-Lain

Sistem operasi yang dijalankan adalah ColorOS 6.1, yang mana berasaskan dari Android 9.0 Pie. Keunikan ColorOS 6.1 pada Oppo Reno2 ini adalah, ia mempunyai sokongan Dual WiFi dan Link Boost. Ia menggabungkan sambungan WiFi 2.4GHz dan 5GHz secara serentak. Menurut Oppo, melalui fungsi ini kelajuan Internet akan ditingkatkan dan akan membantu mengurangkan latensi ketika bermain permua. Lain-lain adalah sama sahaja dengan mana-mana peranti Oppo. Turut terdapat perkara-perkara unik lain yang mungkin akan kami jelaskan lagi dalam ulasan akan datang.

Rekaan

Rekaan keseluruhan masih mirip dengan Oppo Reno yang pertama. Lebih-lebih lagi pada bahagian hadapan. Bezel yang nipis, seksi dan rekaan nirbingkai amat sesuai dengan peranti zaman sekarang. Kemudian, di bahagian dahi atas terdapat earpiece, sayang sekali tidak berfungsi sebagai pembesar suara stereo. Bahagian atas pula menempatkan kamera pop-naik sirip jerung dan mikrofon. Manakala di bawah adalah port bicu audio 3.5mm, mikrofon kedua, port USB-C dan pembesar suara.

Pada bahagian sisi kanan, terdapat slot kad SIM dan butang kuasa dengan kemasan berwarna hijau. Sisi kiri pula adalah butang aras suara sahaja. Bahagian belakang Oppo Reno2 adalah yang paling cantik. Susun kuad-kamera yang rata yang dilindungi terus oleh Gorilla Glass 5. Kemudian terdapat bonjol untuk mengelakkan kamera dari calar dan beberapa tulisan seperti Reno, Hybrid Zoom dan juga logo Oppo. Warna Luminous Black adalah inspirasi dari keindahan waktu malam melalui rekaan Twilight Mist. Warna Sunset Pink pula adalah inspirasi dari warna bunga ros.


Kesimpulan

Oppo Reno2 adalah sebuah peranti kelas pertengahan premium yang baik. Dari segi paparan yang cantik, terang dan memuaskan sehinggalah rekaan yang seksi – peranti ini jelas sekali hebat dan harga juala RM2299 adalah sebuah harga premium. Kamera juga boleh dikatakan standard kamera peranti-peranti moden Oppo. Cuma jika kita bandingkan dengan peranti mercu “murah” seperti Mi 9T Pro, Oppo Reno2 kurang berbaloi.

Apa-apa pun, ia kembali kepada keperluan dan kehendak pengguna serta duit yang berada dalam poket pengguna. Jika inginkan skrin dan kamera hebat, Oppo Reno2 adalah pilihan bijak. Namun jika pentingkan prestasi Mi 9T Pro adalah peranti wajib dan jika inginkan majoriti segalanya baik dan harga pun murah, Mi 9T yang mempunyai spesifikasi lebih kurang sama sudah memadai.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd