Cari @ Amanz

Di dalam dunia perubatan, terdapat banyak usaha untuk mencari organ gantian kerana umum diketahui tidak banyak manusia yang menderma. Oleh itu antara cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan menggunakan organ dari khinzir. Terkini penyelidik dari Massachusetts General Hospital telah akhirnya berjaya menggunakan kulit khinzir untuk merawat pesakit melecur.

Biasanya bahagian melecur dirawat menggunakan kulit gantian yang dipanggil allograf. Ia diambil dari kulit mayat bagi menutup bahagian tubuh bagi mengelakkan jangkitan berlaku kepada pesakit. Selepas pesakit berjaya distabilkan, allograf ini kemudian digantikan pula dengan kulit pesakit itu sendiri yang diambil dari bahagian lain tubuh.

Kulit khinzir yang telah diubah genetiknya digunakan dalam ujian baru-baru ini dan ia dilihat berfungsi sebaik dengan allograf kulit manusia. Pada waktu yang sama tiada pemindahan retrovirus khinzir ke manusia dapat dikesan menggunakan kulit Xeno-Skin ini. Xeno-Skin bukan sahaja berfungsi sebaik allograf biasa tetapi ia lebih murah dan mudah didapati berbanding kulit yang diambil dari mayat.

Saintis memilih khinzir kerana mereka membiak dengan pantas dan organ gantian untuk kegunaan manusia dapat dihasilkan dalam jumlah yang banyak. Seperti kami laporkan sebelum ini, khinzir juga boleh menjadi sumber organ gantian manusia di masa hadapan. Ujian ke atas babun setakat ini menunjukkan perkembangan positif untuk ia menjadi penderma jantung dan paru-paru.

Isu penggunaan organ khinzir ini pastinya dilihat sebagai sensitif. Oleh sebab itulah kerajaan Malaysia melakukan pelbagai kempen menderma organ kerana jika kita enggan menjadi penderma, ini ialah antara alternatif yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah kekurangan organ.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd