Cari @ Amanz

Undang-undang e-hailing baru sahaja dikuatkuasakan semula beberapa hari yang lalu, tetapi ini nampaknya tidak menghalang aplikasi perkongsian kenderaan Ryde untuk memasuki pasaran tempatan.

Perkhidmatan Ryde berasal dari Singapura, dan ialah aplikasi perkongsian kenderaan (carpool) dimana pengguna boleh menumpang pemandu kenderaan bersama-sama dengan orang lain.

Dibawah aplikasi Ryde, perkhidmatan perkongsian RydePool boleh diakses oleh pengguna, dan satu lagi perkhidmatan, iaitu RydeCity akan diperkenalkan tidak lama lagi, dimana penumpang boleh mencari pemandu kenderaan yang akan ke bandar-bandar lain yang mempunyai jarak jauh,

Di Singapura, Ryde kini mempunyai sekitar 25,000 pemandu, dan adalah diantara aplikasi yang paling dimuat-turun di negara tersebut.

Terence Zou, Ketua Pegawai Eksekutif Ryde berkata bahawa beliau pasti bahawa aplikasi ini akan mendapat sambutan yang sama di Malaysia.

Berbeza dengan perkhidmatan seru-pandu yang lain, Ryde hanya membenarkan seorang pemandu untuk berkongsi kenderaan sebanyak dua kali sehari. Ini adalah untuk memastikan bahawa pemandu tidak menggunakan aplikasi ini seperti sebuah aplikasi teksi.

Lebih menarik lagi, Ryde ialah sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan, dan apa-apa bayaran komisen yang diterima oleh pemandu akan disimpan oleh mereka secara penuh.

Ryde akan boleh digunakan oleh rakyat Malaysia di kawasan Lembah Kelang bermula bulan November kelak, dan akan dilanjutkan ke bandar-bandar lain seperti Pulau Pinang, Johor dan Melaka tidak lama lagi.

Buat masa ini, aplikasi ini boleh dimuat turun, dan pengguna sudah boleh mula mendaftar dengan perkhidmatan tersebut.

Apabila ditanya jika para pemandu Ryde memerlukan lesen PSV untuk menggunakan aplikasi ini, Terence mengesahkan bahawa mereka tidak perlu memohon untuk lesen tersebut untuk memandu dengan perkhidmatan ini.

Anda boleh melayari laman web untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan perkongsian kenderaan Ryde ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd