Carian
ASUS ROG Phone II Dilancarkan Hari Ini – Bermula Dari RM3499
October 16, 2019 Nazrin

ASUS adalah salah satu syarikat teknologi yang mempopularkan konsep peranti pintar gaming dengan peranti ROG Phone mereka pada tahun lepas.

 

Pengganti peranti tersebut tahun ini ialah ROG Phone II yang diumumkan beberapa tahun lalu. ASUS Malaysia akhirnya mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk peranti tersebut bermula hari ini.

Spesifikasi ASUS ROG Phone II ini boleh dikatakan sangat berkuasa. Ia dilengkapi dengan CPU Qualcomm Snapdragon 855+ yang boleh dilewahjam, memori sebesar 12GB dan pilihan storan 512GB dan 1TB.

Dari segi paparan, ia mempunyai paparan FHD+ (2340×1080) yang bukan sahaja menyokong kadar segar semula 120Hz dan teknologi HDR10, tetapi juga mempunyai Delta E<1.

Dari segi kamera pula, peranti ini dilengkapi dengan kamera pandang belakang dwi-lensa 48MP dan 13MP bersama-sama dengan kamera pandang hadapan 24MP.

Sama seperti model sebelum ini, ROG Phone II ini bakal hadir dengan beberapa aksesori menarik, seperti penyejuk kipas AeroActive Cooler II dan kerangka peranti AeroCase.

 

 

ASUS ROG Phone II ini akan dijual bermula hari ini pada harga RM3499 untuk model dengan storan 512GB dan RM4499 untuk peranti dengan storan 1TB, yang dipanggil Ultimate Edition.

Selain daripada itu, ASUS Malaysia turut memperkenalkan pakej ROG Phone II SuperPack, dimana peranti ASUS ROG Phone II 512GB dipadankan bersama-sama semua aksesori-aksesori peranti tersebut pada harga RM6,999. Pakej ini boleh dibeli secara eksklusif di Lazada.

Komen