Google Nest adalah nama baharu bagi produk-produk peranti berhubung Google. Contohnya, pembesar suara pintar yang dulu diberi nama Google Home Mini – kini generasi baharu dinamakan sebagai Google Nest Mini. Manakala paparan pintar yang asalnya adalah Google Home Hub, kini menjadi Google Nest Hub dan Nest Hub Max. Selain dari pembesar suara dan paparan pintar – Google turut mempunyai penghala. Penghala ini adalah “Google WiFi” dan bersempena dengan Pixel 4 dan penggunaan nama ‘Nest’, generasi baharu diberi nama “Nest WiFi“.
https://youtu.be/WsdUJ9sM78k
Nest WiFi sama seperti produk-produk peranti berhubung lain, yang mana ia perlu ditetapkan dan kemudian dikawal menggunakan aplikasi Google Home. Melalui Nest WiFi, Google hadir dengan dua jenis, satu penghala dan satu lagi adalah WiFi Point iaitu penghubung bagi memanjangkan lagi jarak sambungan. Nest WiFi direka dengan rekaan seakan sebiji marshmallow dan mempunyai tekstur yang lembut. Bagi WiFi Point pula, ia mempunyai kekisi pembesar suara di bawah dan akan ada lampu bernyala apabila terdengar seruan “Hey Google” atau “Ok Google”. Ini kerana, Nest WiFi turut berfungsi sebagai Nest Mini.
Nest WiFi mampu meningkatkan kepantasan Internet dua kali ganda berbanding Google WiFi dan 25% lebih baik jarak sambungan. Harga jualan agak berpatutan, iaitu $169 seunit penghala, $269 untuk set 2 unit (penghala + wifi point) dan $349 untuk set 3 unit (penghala + wifi point + wifi point). Harga dalam ringgit adalah sekitar RM708- RM1462.