Carian
Pixel Neural Core Adalah Cip Yang Meningkatkan Sekuriti, Prestasi Dan Menjadikan Pixel 4 Lebih Pintar
October 17, 2019 Fahim Zahar

Google Pixel 4 dan Pixel 4 XL adalah peranti mercu terbaru dari Made by Google. Seperti biasa, peranti ini adalah perintis kepada peranti dengan kamera yang hebat. Walaupun tidak mempunyai lensa ultra sudut lebar, tetapi wakil Google mengatakan yang lensa telefoto adalah lebih penting dan sudah memadai. Seperti barisan Pixel 2 dan Pixel 3, Pixel 4 turut mengekalkan cip Visual Core untuk membantu proses imej diproses lebih pantas. Lebih-lebih lagi apabila dimuat naik ke media sosial. Tahukah anda, pada Pixel 4 terdapat satu cip tambahan baharu yang dinamakan sebagai Pixel Neural Core?

Apa itu Pixel Neural Core?

Ia adalah satu cip tambahan untuk meningkatkan lagi sekuriti, prestasi peranti dan juga menjadikan Pixel 4 lebih pintar daripada biasa. Ini bermakna, cip ini tidak akan berfungsi tanpa cip sekuriti Titan M, cip pemprosesan Snapdragon 855 dan juga cip Visual Core. Neural Core adalah cip yang hanya mempercepatkan lagi segala proses-proses kerja dalam Pixel 4. Dengan cip Neural Core ini juga, ia membantu kerja-kerja memproses dalam peranti, pengkomputeran sentiasa hidup dan pembelajaran mesin.

Kita sudah tahu yang Pixel 4 adalah peranti pertama dengan sokongan Live Caption, aplikasi perakam suara pintar dan juga peranti pertama yang menyokong Google Assistant serba baharu. Kerja-kerja mentranskripsi Live Caption dan pada perakam suara boleh berfungsi secara luar talian dan kesemua data yang direkod akan disimpan dalam peranti. Disebabkan Google memfokuskan privasi, data-data ini tidak akan dihantar ke pelayan Google. Jika pengguna masih skeptikal, data-data yang disimpan Google juga sudah boleh dipadam tanpa sebarang masalah.

Google Assistant yang lebih pintar, bagaimana?

Tidak dinafikan yang Google sentiasa tanpa henti meneruskan pembangunan Google Assistant. Setiap hari, pembantu digital ini semakin membantu dan semakin cekap. Dalam Pixel 4 dengan bantuan cip baharu ini, Google Assistant akan berfungsi dengan lebih lancar dan pantas. Ini kerana segala kerja-kerja pemprosesan Google Assistant berlaku pada peranti secara lokal dan tidak lagi bergantung kepada awan. Ya, data-data masih ditarik dari pusat data Google – tetapi prosesnya adalah pada peranti itu sendiri. Google menggelarkan kemampuan ini sebagai hybrid model. Secara tidak langsung masa respon Google Assistant akan berganda lebih pantas.

Cip Titan M tidak cukup ke?

Cip Titan M sudah lebih daripada cukup. Seperti yang saya katakan tadi, Neural Core turut bergantung kepada cip-cip lain. Untuk sekuriti, proses-proses pengecaman wajah dan segala data-data wajah diproses oleh cip Neural Core. Tetapi cip Titan M yang membuat pengesahan. Misalnya, menurut Google atas sebab privasi dan sekuriti – data-data wajah pengguna tidak akan disimpan di pusat data Google. Ianya disimpan pada dalam peranti sahaja. Fungsi Face Unlock yang Google dakwa adalah paling pantas di dunia ini, turut bergantung pada cip ini. Ini juga bermakna, cip Neural Core turut berfungsi sebagai cip pemprosesan imej.


Jadi jika anda keliru apa itu cip Neural Core dan kenapa Google Assistant pada peranti-peranti Pixel (lebih-lebih lagi Pixel 4), harap artikel ini membantu. Bagi yang tidak tahu, sehingga hari ini Google Assistant adalah pembantu digital terbaik yang pernah wujud setakat ini. Walaupun kita ada Alexa dan Siri yang agak hebat, agak sukar dua pembantu digital ini ingin bersaing kerana data-data yang diperoleh Google.

Kejap! Jika pada Pixel 4 kerja-kerja memproses Google Assistant adalah pada peranti dan Google tidak lagi menyimpan data-data pengguna, bagaimana ia boleh berfungsi dengan lebih pantas? Menggunakan data lama? Hmmm.. apa-apa pun bagi yang skeptikal dan takut usah guna – saya gemar akan penggunaan Google Assistant ini.

Komen