Jepun ialah negara yang mempopularkan kategori kereta Kei. Ia berasal dari perkataan keijidōsha yang bermaksud kenderaan ringan. Kenderaan Kei popular di Jepun kerana jalan raya yang sempit memerlukan kenderaan yang kecil untuk beroperasi dengan mudah. Di masa hadapan mereka mungkin mempopularkan pula penggunaan kereta elektrik ultra kompak pula dengan pengenalan kenderaan seperti Toyota Ultra-compact BEV (Battery Electric Vehicle).
Toyota Ultra-compact BEV berbeza dengan kenderaan elektrik seperti Tesla kerana ia menyasarkan penggunaan di kalangan warga emas di Jepun. Kereta ini hanya mampu membawa dua orang penumpang, dengan jarak operasi 100 kilometer dan kelajuan maksimum 60 km/j sahaja. Ia juga hanya sebesar 2.49 x 1.29 x 1.55 meter yang adalah lebih kecil berbanding sebuah Perodua Kancil.
Toyota berharap dengan kenderaan seperti Ultra-compact BEV, warga tua yang semakin meningkat di Jepun dapat hidup dengan lebih berdikari tanpa mencemari alam sekitar. Kereta ini akan mula dijual pada tahun 2020 tetapi harga masih belum diumumkan.