Cari @ Amanz

AMD sebelum ini telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan siri cip pemprosesan Ryzen Threadripper generasi ketiga mereka di Amerika Syarikat pada bulan November kelak.

Terkini, VideoCardz, laman web yang terkenal untuk penirisan maklumat mengenai komponen komputer baru sahaja meniriskan butiran lanjut mengenai pelancaran tersebut.

Ia dikatakan bahawa siri cip pemprosesan tersebut akan diumumkan pada 5 November kelak, manakala tanda harga dan ulasan mengenai CPU-CPU tersebut akan diumumkan pada 19 November, kira-kira dua minggu selepas acara pengumuman.

AMD dikatakan akan melancarkan tiga CPU Threadripper, termasuklah AMD Ryzen Threadripper 3960X dengan 24 teras yang tertiris baru-baru ini, AMD Ryzen Threadripper 3970X dan AMD Ryzen Threadripper 3990X. Dalam pada itu, AMD turut akan mengumumkan model-model papan induk dan cipset yang akan digunakan oleh siri CPU ini, dan ia dikatakan akan hadir dengan nama TRX40.

Lebih menarik lagi, ia dikatakan bahawa AMD hanya akan mengumumkan model CPU dan juga jumlah teras yang akan tiba pada CPU-CPU di acara pengumuman tersebut, manakala CPU AMD Ryzen Threadripper 3990X hanya akan mula dijual pada bulan Januari 2020.

Sama-sama kita tunggu acara pelancaran siri CPU berkuasa ini pada 4 November kelak untuk butiran lanjut daripada AMD.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd