Kamera Digital Fujifilm X-Pro3 Hadir Dengan Rekaan Klasik Dan Dwi-Skrin LCD

Kamera Digital Fujifilm X-Pro3 Hadir Dengan Rekaan Klasik Dan Dwi-Skrin LCD

Diterbitkan pada Okt 23, 2019 oleh .

Siri Fujifilm X-Pro digemari oleh penggemar fotografi yang mahukan kamera digital yang kelihatan seperti sebuah kamera filem. Rekaannya klasik lengkap dengan pelbagai tombol kawalan fizikal. Ini amat berbeza sekali dengan kamera keluaran Sony yang mementingkan kekemasan dan rekaan lebih futuristik. Hari ini Fujifilm X-Pro3 telah dilancarkan, tiga tahun selepas X-Pro2 dilancarkan.

Kamera nircermin ini dilengkapi sensor 26.1-Megapixel X-Trnas CMOS dengan cip pemprosesan imej X-Processor 4.  Ini adalah peningkatan dari sensor 24.3-Megapixel yang digunakan pada X-Pro2. Dengan sensor ini, pengguna boleh melakukan rakaman gambar dalam mod HDR dan video pada resolusi maksimum 4K 30FPS.

Keunikan X-Pro terletak pada sistem dwi-skrin. Skrin pertama pada panel belakang hanya sebesar 1.28-inci yang memaparkan tetapan seakan cebisan kotak filem analog. Sekiranya anda pernah menggunakan kamera analog, terdapat poket kecil untuk cebisan kotak bagi mengingatkan pengguna filem jenis apakah yang diletakkan di dalam kamera. Pengguna boleh memilih untuk memaparkan maklumat seperti ISO dan mod gambar seakan filem analog Fujifilm pada skrin mini ini. Antara mod filem analog yang boleh dipilih ialah Provia, Acros, Eterna, dan Velvia.

Panel belakang ini boleh dibuka 180 darjah ke bawah bagi mendedahkan skrin sebesar 3-inci LCD untuk kegunaan rakaman video misalnya. Fujifilm menyertakan dwi-skrin LCD pada X-Pro3 kerana menyedari majoriti pengguna X-Pro2 lebih gemar menggunakan viewfinder dan skrin besar pada bahagian belakang adalah mengganggu proses mengambil gambar. Bercakap mengenai viewfinder, X-Pro3 hadir dengan EVF OLED dengan 3.69 juta titik dan keterangan 1500 nits.

Tubuh kamera diperbuat daripada logam magnesium dan aluminium. Kemasan Duratect yang digunakan pula memastikan permukaan kamera mampu menahan calar. Fujifilm X-Pro3 dijual pada harga $1800 (~RM7539) tanpa lensa.

 


TIPS & ULASAN