Tronsmart sejak kebelakangan ini semakin aktif dengan penghasilan produk-produk audio. Bagi mereka yang tidak jenama ini, Tronsmart sedia terkenal dengan produk-produk kuasa seperti power bank, pengecas dan kabel. Terkini, Tronsmart akan membawa masuk siri baharu set fon telinga nirwayar sebenar “Spunky” mereka di Malaysia.
Produk ini adalah Tronsmart Spunky Beats. Ia adalah produk ketiga Spunky mereka dalam kategori set fon telinga TWS dan Spunky Beats ini adalah yang paling premium dari mereka. Spunky Beats akan dijana dengan cip Qualcomm® QCC3020. Ini bermakna, ia akan menyokong bukan sahaja AAC dan SBC – tetapi juga aptX. Versi Bluetooth yang digunakan adalah Bluetooth 5.0, bateri setiap fon telinga adalah 35mAh dan bateri pada pod pengecasan pula adalah 350mAh. Menurut Tronsmart, bateri mampu bertahan selama 7 jam sekali guna dan sehingga 24 jam dengan pod pengecas. Manakala dengan 5 minit pengecasan, ia boleh digunakan selama 1 jam.
Selain itu, dengan cip Qualcom yang digunakan ini – kualiti audio akan lebih jelas, mempunyai sokongan pembatalan hingar melalui cVc dan juga sokongan DSP. Pada bahagian fon telinga, terdapat sokongan kawalan sentuhan untuk mengawal muzik, panggilan telefon dan juga menyeru pembantu digital. Untuk perlindungan, ia menyokong kali percikan IPX5. Rekaan pula adalah lain daripada yang lain, seperti terdapat kabel USB-A terbina untuk pengecasan dan juga penyangkut agar mudah dibawa ke mana sahaja oleh pengguna.
Tronsmart Spunky Beats akan dijual di Malaysia tidak lama lagi. Tronsmart mengatakan yang harganya adalah berbaloi, jika dibandingkan dengan mana-mana pesaing yang mempunyai spesifikasi begini. Sama-sama kita nantikan.